ARKIB : 04/07/2011Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
K. Rajagobal mendakap Aidil Zafuan Abd. Razak yang
berjaya menjaringkan gol pertama skuad negara pada pertemuan kedua pusingan
pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Taipei, malam tadi.
Malaysia tewas 2-3 tetapi terikat 4-4 secara agregat yang melayakkan Harimau
Malaya ke pusingan kedua berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.
Dengan agregat yang terikat 4-4, dua gol yang
dijaringkan di Stadium Perbandaran Taipei sudah cukup untuk meletakkan skuad
Harimau Malaya menempah pertemuan seterusnya dengan Singapura pada 23 Julai
ini.
Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal bakal menentang
pasukan jiran di Singapura dalam aksi awal manakala perlawanan kedua
dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Julai ini.
Perlawanan semalam, menyaksikan skuad senior
kebangsaan tumpas buat pertama kali sejak menjuarai Piala Suzuki AFF pada tahun
lalu.
Kekalahan itu wajar dijadikan satu pengajaran
berguna buat barisan pemain Malaysia memandangkan lawan yang bakal mereka
tentang selepas ini bukan calang-calang pasukan.
Ketika ditemu-ramah oleh Astro Arena, Rajagobal
berkata, walaupun skuad kebangsaan berjaya ke pusingan kedua, namun, beliau
masih tetap tidak berpuas terhadap persembahan yang dipamerkan anak-anak
buahnya.
"Memang kita layak tetapi saya tidak berapa
puas hati dengan persembahan mereka. Namun, bukan secara keseluruhan kerana ada
masanya pemain kita bermain baik.
"Saya dapat lihat mereka mampu serang dengan
baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki" katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk
Subahan Kamal pula memberitahu, kekurangan yang masih dimiliki oleh para pemain
Malaysia ialah fizikal mereka.
"Fizikal juga amat penting kerana selain
mental dan taktikal kita memerlukan kekuatan fizikal. Sebab itu, saya berasakan
pendedahan bermain dengan pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Bahrain dan Jordan
diperlukan oleh skuad Malaysia," ujarnya.
Apa yang penting selepas ini, Rajagobal perlu
segera mencari 'tonik' baru bagi memastikan pemain-pemain bimbingannya bersedia
menghadapi cabaran Singapura.
Pertemuan kedua-dua negara jiran itu yang
disifatkan sebagai pertembungan dua musuh tradisi sudah pasti menghidangkan
satu perlawanan menarik yang menyaksikan kekuatan seimbang 50-50.
Singapura yang mendapat sentuhan jurulatih Serbia,
Radojko Avramovic turut diperkuatkan dengan barisan 'awang import' yang diberi
status kewarganegaraan.
Antara pemain tersebut ialah Goncalves dari Brazil,
pemain kelahiran Croatia, Mirko Grabovac, Itimi Dickson dari Nigeria dan pemain
Yugoslavia, Aleksandar Duric.
Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Singapura pada
29 November 2008 di Stadium MPPJ, Kelana Jaya menerusi perlawanan persahabatan
yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan mendapat
sepakan percuma apabila kapten, Safiq Rahim dijatuhkan dan pemain pertahanan
Aidil Zafuan Abd. Razak tidak mensia-sia peluang meledakkan gol sulung hasil
jaringan cantik pada minit ke-7 menewaskan penjaga gol Taiwan, Lee Po Cheng.
Gol penyamaan diperoleh tuan rumah menerusi Chang
Han yang mengambil kesempatan kekalutan yang berlaku di depan pintu gol skuad
negara untuk menolak masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-30.
Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat para
pemain kebangsaan apabila Malaysia sekali lagi berjaya membolos gawang tuan
rumah menerusi Safiq yang menggegarkan pintu gol Taiwan untuk meletakkan
Malaysia di depan 2-1.
Taiwan yang mendapat sokongan padu penyokong
tempatan, meraih gol penyamaan pada minit ke-44 melalui Che Po Liang yang
menyempurnakan sepakan penalti setelah Mahali Jasuli menjatuhkan pemain tuan
rumah.
Tuan rumah yang terdesak mencari dua lagi gol,
sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Vietnam, Goh Minh Tri
apabila pertahanan Malaysia, Fadhli Shas menjatuhkan pemain lawan, namun
rembatan yang diambil Po Liang kali ini berjaya diselamatkan Sharbinee pada
minit ke-61.
Ingauan buruk berterusan menimpa skuad kebangsaan,
setelah pengadil yang dilihat berat sebelah kepada Taiwan buat kali ketiga
menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan oleh Xavier Tsan pada minit
ke-74 untuk mengatasi dengan keputusan 3-2.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eTR27200
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan