ARKIB : 02/07/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ramai jurulatih mahupun pengurus
pasukan bola sepak sering berkata, segala rekod lalu tidak akan bermakna di
atas padang apabila tiba satu lagi perlawanan baru yang pastinya jauh berbeza
dari segi masa dan keadaan mahupun barisan pemain.
Namun, kadangkala sejarah juga masih relevan dalam
mematangkan seseorang dan mengayakan pengalamannya terutama pada saat-saat
genting atau ketika dihantui tekanan tinggi seperti mana Harimau Malaya
mengunjungi Taiwan di Stadium Perbandaran, Taipei, esok.
Rekod kalah 2-3 kepada Taiwan di Bangkok dalam
kelayakan Piala Asia 2000, boleh dijadikan rujukan walaupun tiada siapa lagi
pemain ketika itu yang masih berada dalam skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal
pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika ini.
Agak malang buat skuad 2000 bimbingan Abdul Rahman
Ibrahim itu kerana mereka dengan mudah membenam Taiwan 3-0 dalam perlawanan pertama
di Shah Alam - situasi yang hampir sama dengan 'Safiq Rahim dan Aidil Zafuan
Abd. Razak' menewaskan negara pulau itu 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.
Berdasarkan pertemuan pertama di Stadium Nasional
itu jugalah, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menegaskan betapa skuad
Rajagobal tidak sesekali boleh mengulangi kelekaan dan aksi longlai yang
mengakibatkan pelawat mudah beroleh gol tunggal menerusi Chen Po Liang.
"Aksi di Bukit Jalil membuktikan Taiwan sebuah
pasukan yang mampu menyaingi Malaysia walaupun ketinggalan dua gol. Aset utama
mereka ialah kepantasan menyerang balas. Pasukan kita kena sentiasa berwaspada
dan jangan sampai tertekan dan buat silap sebegitu lagi sampai terlepas gol
sebegitu.
"Malah, cukup jelas pada hari itu, Taiwan
bermain lebih baik selepas merapatkan jurang gol justeru pasukan kita wajar
bermain lebih baik dalam perlawanan kedua di Taipei," katanya yang turut
menjadi pengulas bersama siaran langsung sebuah saluran TV swasta, Rabu lalu.
"Kita banyak menyerang ketika itu dan kadar
gol yang secukupnya sebagai modal awal ke tempat lawan gagal dicapai setelah
banyak peluang terlepas malah sampai terleka untuk bertahan daripada satu
serangan balas lawan yang terus mendapat gol," jelasnya.
Razip turut mengakui, kelebihan satu gol dengan
jaringan Safiq dan Aidil Zafuan di Bukit Jalil itu tidak akan mudah untuk
dipertahankan di Stadium Perbandaran Taipei apatah lagi lawan mempunyai modal
atas faktor peraturan gol di tempat lawan.
"Saya rasa, rombakan di barisan belakang
pasukan kita juga tidak dapat dielakkan dan corak permainan terbuka bukan lagi
satu pilihan yang menjadi keutamaan biarpun saya akui, satu gol kita di tempat
lawan bakal menambah keyakinan pemain dan mencerahkan peluang kita,"
katanya.
Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che
Mat, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Radzak, Safiq Rahim,
Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, S. Kunanlan, Fadhli
Shas, Abdul Hadi Yahya.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eTMcb0Fx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan