ARKIB : 30/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Pemain Malaysia, Amirulhadi Zainal (kanan) berebut
bola dengan pemain Singapura, Daniel Bennett pada Kelayakan Piala Dunia di
Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu pemain skuad
negara dikekalkan walaupun gagal meneruskan kemaraan pada Kelayakan Piala
Dunia, kelmarin.
Beliau berharap skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal
yang puratanya dibarisi pemain berusia 23 dan 24 tahun perlu dikekalkan demi
masa depan sukan bola sepak negara.
Tengku Abdullah yang hadir menonton perlawanan di
Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, yang menyaksikan Malaysia seri 1-1 dan
tersingkir kepada Singapura dengan agregat 4-6, berkata, Harimau Malaya masih
mempunyai masa depan yang cerah.
"Berilah mereka peluang. Gagal kali ini bukan
bermakna mereka gagal selamanya, saya yakin skuad ini mampu bangkit, mereka
semua masih muda, " katanya.
Harapan Tengku Abdullah disokong dengan hakikat
Malaysia kalah kepada lawan yang lebih matang kerana Singapura dibarisi pemain
yang berpengalaman, termasuk penyerangnya Aleksandar Duric yang berusia 41
tahun.
Menurutnya, walaupun masih mentah di pentas
antarabangsa, pemain negara tetap mencuba yang terbaik kelmarin.
"Pengalaman jelas menjadi penghalang kepada
kita berbanding skuad lawan untuk memenangi perlawanan malam ini.
"Para pemain telah berusaha sedaya upaya
tetapi akibat penyudah yang kurang baik, kita gagal memenangi perlawanan,"
kata nya.
Analisis Tengku Abdullah itu berdasarkan aksi
beberapa pemain muda pada bahagian pertahanan yang gagal mengekang kemas
pergerakan pemain import Singapura seperti Duric, Qiu Li dan Shia Jiayi.
Selain itu, Ismail Faruqi, 23, yang menggantikan
Safiq Rahim, jelas terlalu gugup apabila gagal membuka ruang kepada barisan
serangan sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70.
Penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani, 22, juga
mempamerkan aksi yang cukup mengecewakan dilayangkan kad merah selepas mengutip
kad kuning kedua, walaupun dia beraksi dalam tempoh 20 minit permainan.
Safee Sali, 27, pemain paling senior dalam skuad
kebangsaan kali ini, menjaringkan gol tunggal skuad negara sebelum jaringan
Jiayi pada minit ke-71 memadamkan api perjuangan Harimau Malaya.
Berbanding skuad lawan, Singapura mempunyai ramai
pemain berpengalaman yang berusia 30 tahun ke atas seperti Duric, 41, Daniel
Bennett, 33, Mustafic Fahrudin, 30 dan Qiu Li, 30 sementara Shahril Ishak
selaku kapten berumur 27 tahun dan Juma'at Jantan, 27 tahun.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ehxjIZvh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan