ARKIB : 03/07/2011
KUALA LUMPUR - Pemain Taiwan yang berpangkalan di
Eropah, Xavier Chen mampu menambahkan kegusaran jurulatih Datuk K. Rajagobal
pada perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Taipei, hari
ini.
Xavier, 27, boleh diumpamakan 'Prof. X' yang
menjadi adiwira filem dan komik terkenal, X-Men yang mencetuskan misteri dengan
penampilan pertama bersama Taiwan hari ini, setelah tidak sempat beraksi ketika
Malaysia menang 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.
Ketika itu, dia baru sahaja mendapat kebenaran
bermain daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun pemain pertahanan kanan yang beraksi dengan
kelab di Belgium itu, disebut-sebut bakal mencetuskan kesukaran buat barisan
penyerang skuad negara pada perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei hari ini.
Sejauh mana keserasian bekas ketua pasukan Bawah 19
Belgium itu dengan rakan sepasukan, mencetuskan tanda tanya.
Ini kerana Xavier kurang fasih bertutur bahasa
Mandarin dan baru mendapat kerakyatan, Mei lalu biarpun memiliki pengalaman
beraksi untuk KV Mechelen dan berguru di Akademi RSC Anderlecht.
"Mungkin masalah komunikasi di padang tetapi
saya sudah belajar dan memahami beberapa perkataan penting Mandarin untuk
memudahkan permainan dan keserasian saya," kata pemain itu yang pernah
bersama KV Kortrijk pada 2003.
Mengulas kehadiran 'watak baru' dalam skuad Taiwan,
K. Rajagobal berkata: "Kehadirannya merupakan satu cabaran buat kami dan
boleh jadi kelebihan pihak lawan atau pun kita. Dia baru kali pertama bermain
dengan Taiwan dan mungkin tidak begitu arif seperti mana rakan sepasukannya
yang telah bermain di Bukit Jalil mengenai corak permainan pasukan kita (dalam
perlawanan pertama).
"Namun walau siapa pun yang tuan rumah
turunkan, apa yang lebih penting ialah bagaimana cara kita beraksi esok (malam
ini demi merebut tempat ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia menentang
Singapura, 23 dan 28 Julai)," katanya.
Menyertai Xavier nanti ialah Victor Chou, 19,
pertahanan tengah atau pemain tengah kelahiran Sepanyol dan berpengalaman
mewakili pasukan Divisyen B Segunda, UD Salamanca.
Pemain itu cuma memanaskan bangku simpanan pada
aksi Bukit Jalil yang dimenangi Malaysia 2-1 menerusi jaringan Safiq Rahim dan
Aidil Zafuan Radzak.
Sementara itu, Rajagobal masih mahu menunggu
sehingga perlawanan pukul 7 petang ini (waktu Malaysia) untuk menentukan siapa
penjaga gol utama yang direbut sengit oleh tiga pemain, Sharbinee Allawee
Ramli, Khairul Fahmi Che Mat, yang baru pulih daripada kecederaan bahu dan
Nasril Nourdin.
"Apabila kita ada banyak pilihan pemain, ia
satu perkembangan baik bagi pasukan kerana semua bersaing sengit bagi satu
posisi penting ini. Saya juga akui prestasi Sharbinee memberangsangkan (pada
aksi di Stadium Nasional, Rabu lalu) namun kita akan terus bergantung kepada
prestasi semasa," katanya.
Ahmad Fakri Saarani yang disebut-sebut akan
digandingkan semula dengan Abdul Hadi Yahya ekoran ketiadaan Safee Sali yang
tercedera berkata: "Saya berjanji untuk mengurangkan kesilapan
mensia-siakan peluang gol pada perlawanan pertama itu, saya akan cuba
mendapatkan gol awal kita."
Kali terakhir penyerang Negeri Sembilan kelahiran
Kota Bharu, menyumbat gol skuad negara sepanjang tahun ini ialah ketika
perlawanan persahabatan diikat 1-1 oleh kelab Perancis, Etoile FC di Singapura,
Februari lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eTO5x9i9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan