Sabtu, 2 Februari 2019

Rajagobal resah 3 tonggak serangan cedera


ARKIB : 16/06/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
K. Rajabobal (kiri) menerima ucapan tahniah daripada para pemain selepas beliau menerima pingat PJN yang membawa gelaran Datuk pada sesi latihan skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia di padang Wisma FAM Kelana Jaya, semalam. - UTUSAn/Izham Jaafar

KUALA LUMPUR - Pertembungan persahabatan dengan Myanmar di Kota Bharu Sabtu ini, bakal menguji kebijaksanaan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal untuk membentuk jentera serangan yang mantap, ekoran kecederaan yang membelenggu pemain penyerang.

Menurut Rajagobal, tiga daripada lima penyerang yang disenaraikan dalam skuad 28 pemain bertemu Myanmar dan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Taiwan 29 Jun ini, mengalami kecederaan.

"Saya terpaksa mencari gandingan penyerang baru untuk kedua-dua perlawanan tersebut berikutan kecederaan yang dialami Norshahrul Idlan Talaha (urat pelipat lutut), Shahrizal Saad (buku lali).

"Safee Sali pula mempunyai tanggungjawab bersama kelabnya Pelita Jaya di Indonesia," katanya ketika ditemui media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.

Jelasnya, beliau mungkin memanggil pemain skuad Bawah 23, Izzaq Faris Ramlan atau penyerang lain, jika pemain yang disenaraikan tidak pulih sepenuhnya.

"Safee tidak ada masalah untuk beraksi pada pertembungan dengan Taiwan.

"Peluang Norshahrul untuk beraksi agak samar kerana memerlukan rehat dua atau tiga minggu.

"Pemain posisi lain juga berdepan masalah kecederaan tetapi tidak serius iaitu pemain pertahanan, Hisyamudin Sha'ari dan pemain sayap kanan, S. Chanturu yang cedera pada lutut kanan," katanya.

Seramai 18 pemain melapor diri di Wisma FAM semalam, kecuali empat pemain Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Hadi Yahya yang menghadiri jamuan makan malam bersama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, selepas berjaya merangkul Piala FA Sabtu lalu.

Lima lagi pemain, Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Mohd Shas, Mahali Jasuli dan K. Gurusamy membantu skuad Bawah 23 kendalian Ong Kim Swee menjelang perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Lebanon Ahad ini di Beirut.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eMlOh9A5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan