ARKIB : 22/06/2011
PEMAIN skuad Olimpik giat menjalani latihan di
padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam walaupun hanya baru tiba dari Lebanon
awal petang semalam. Skuad negara akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan
timbal balik Kelayakan Olimpik menentang Lebanon di Stadium Nasional, esok. -
UTUSAN/ ASWAD YAHYA
SEPANG - Ketumpulan jentera serangan memaksa
jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee memikirkan strategi baru untuk
meraih kemenangan apabila bertemu Lebanon pada perlawanan timbal balik pusingan
kedua Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
"Saya lihat barisan hadapan dan pertahanan
perlu diubah strateginya, kerana kita perlukan gol untuk layak ke saingan
seterusnya. Namun, saya tidak tukar corak permainan keseluruhannya.
"Apa yang paling penting ialah disiplin pemain
perlu dijaga kerana walaupun kita menyerang, pada masa yang sama kita juga
perlu bertahan. Ia perancangan penting yang saya akan buat pada latihan sebelum
perlawanan bermula," katanya.
Skuad Olimpik Malaysia tiba dari Lebanon di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Pada perlawanan di Stadium Sports City, Beirut Ahad
lepas, Malaysia hanya seri tanpa jaringan dengan Lebanon.
Kim Swee berkata, perlawanan menentang Lebanon di
tempat sendiri esok penting kerana ia akan menjadi bonus untuk pasukan negara
melangkah ke perlawanan pusingan ketiga sekiranya menang.
Mengenai barisan penyerang yang gagal meledak gol
pada perlawanan di Beirut, serta kalah dalam dua perlawanan persahabatan
terdahulu, beliau berkata, mereka masih mencari rentak permainan.
Dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja 7
Jun lepas, skuad negara dikejutkan dengan kekalahan 0-1 dan terus menerima
kekalahan 0-4 ketika menentang Qatar pada 13 Jun.
Beliau berharap perlawanan di halaman sendiri esok
akan memberi kelebihan kepada pasukan negara menerusi sokongan padu para
penyokong.
"Ini merupakan satu ujian di mana
penyerang-penyerang saya telah dapat mencipta peluang gol, namun masih buntu
mencipta sentuhan terakhir.
"Saya percaya bermain di tempat sendiri serta
sokongan padu peminat negara mampu membuatkan mereka lebih fokus untuk mencari
kemenangan," kata Kim Swee.
Beliau juga tidak bimbang dengan kecederaan dua
pemain hadapan iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera di dada dan Mohamad
Fandi Othman yang cedera di betis ketika bermain di Beirut.
"Nasib baik kecederaan mereka tidak serius dan
saya harap mereka mampu beraksi sebelum sepak mula Khamis ini," katanya. -
Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eSBsHLrN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan