ARKIB : 21/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Kreativitinya membuka ruang kepada barisan
penggempur di samping mempunyai hantaran silang berkualiti menjadi aset buat
pemain berusia 24 tahun ini menjadi sebutan di kalangan pengikut bola sepak
tempatan.
Namun, pemuda yang berasal dari Sarawak dari suku
kaum Kenyah ini ternyata belum dapat menambat hati pengendali skuad negara,
Datuk K. Rajagobal untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau
Malaya.
Akhirnya peluang yang amat ditunggu oleh Joseph
Kallang menjadi kenyataan walaupun individu yang memanggilnya bukanlah
Rajagobal, sebaliknya jurulatih skuad Olimpik dan Harimau Muda, Ong Kim Swee
bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Chelsea.
Sambil menyifatkan ia bagaikan mimpi menjadi
kenyataan, dia mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh
Kim Swee.
''Terus terang saya tidak menyangka mendapat
peluang sebegini, sudah lama saya impikan menyarung jersi negara, ia adalah
impian buat mana-mana pemain.
''Walaupun ramai yang memberikan sokongan kepada
saya untuk beraksi bersama skuad negara tetapi rezeki belum berpihak kepada
saya.
''Jadi, apabila mendapat peluang sebegini, sudah
tentu saya tidak mahu melepaskan peluang mahu membuktikan apa yang saya boleh
lakukan pada perlawanan dengan Chelsea nanti serta membalas sokongan yang
diberikan oleh peminat,'' katanya yang ditemui selepas sesi latihan di Stadium
Nasional Bukit Jalil, semalam.
Dia merupakan salah seorang daripada sembilan
pemain senior yang dipanggil Kim Swee untuk digandingkan dengan 13 pemain skuad
Olimpik pada perlawanan dengan The Blues malam ini.
Tambah Joseph, dia sama sekali tidak gentar dengan
reputasi besar Chelsea kerana apa yang penting dia mahu memberikan yang terbaik
demi menjaga maruah negara.
''Saya mahu bermain baik pada malam esok (hari ini)
dan membuka ruang kepada rakan sepasukan mendapatkan gol dan paling penting,
kita mampu memberikan saingan," katanya.
Sementara itu, Daudsu Jamaluddin, yang mempunyai
pengalaman menentang Chelsea pada tahun 2008, menyifatkan skuad kali ini jauh
berbeza dengan sebelum ini.
''Chelsea kini di bawah pengurus baru, Andre
Villas-Boas, jadi tidak boleh dibandingkan dengan masa kali terakhir kami
berjumpa dahulu.
''Walaupun ada pemain yang masih kekal, gaya
permainan mereka sudah tentu berbeza,'' yang mengakui faktor gugup tidak boleh
diketepikan semasa berdepan Chelsea nanti memandangkan mereka bakal berhadapan
dengan skuad yang mempunyai ramai berkelas dunia.
Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di
Stadium Shah Alam pada tahun 2008, skuad negara tewas 0-2.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eZtXnab1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan