Sabtu, 2 Februari 2019

Nasib skuad Olimpik, rasuah dan semangat Jepun


ARKIB : 16/06/2011
KELMARIN saya berkesempatan ke majlis resepsi makan malam bersama duta Jepun ke negara ini di kediamannya, bagi meraikan pelumba-pelumba yang akan berlumba pada GT Jepun, Sabtu ini.

Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di kediaman wakil negara matahari terbit itu.

Saya tidak berkesempatan bercakap dengan duta, Shegeru Nakamura tetapi lebih banyak meluangkan bicara dengan pegawai kedutaan.

Pengarah Kaunselor kedutaan, Akira Sato dan penasihat kedutaan, Tojo Tetsuo adalah dua pegawai yang sempat meluangkan masa mereka bersama saya, bersembang daripada soal perlumbaan kereta GT hinggalah kepada bola sepak.

Ketika itu saya tidak ada 'mood' sebenarnya untuk berbicara tentang bola sepak selepas mengetahui tentang kekalahan skuad Olimpik negara kepada Qatar.

Bukan sikit tapi 4-0. Bayangkan hanya tinggal beberapa hari lagi nak lawan Lebanon di Beirut.

Dalam sembang kami, kedua-dua pegawai itu bertanyakan kepada saya: ''Apa dah jadi dengan bola sepak Malaysia?'' Saya kata kami dalam usaha membina semula zaman gemilang yang pernah dilalui suatu ketika dulu.

''Bagus,'' kata salah seorang daripadanya. Malaysia dulu hebat, sehebat Korea Selatan dan Jepun ketika itu bukan kuasa bola sepak Asia.

Malah, kata mereka, rakyat Jepun lebih menggemari sukan besbol daripada bola sepak.

Itu dulu, tapi sekarang mereka jauh ke depan dalam bola sepak dan telah beberapa kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Namun, kedua-dua pegawai ini tetap merendah diri dan memberitahu usaha keras adalah antara resipi kejayaan Jepun dalam bola.

Kata mereka lagi, bola sepak memerlukan kemahiran individu yang akan banyak membantu pergerakan sebuah pasukan. Saya katakan kami (Malaysia) ada semua itu.

Namun, dalam hati kecil saya entahlah. Di mana kekangan kita, saya pun tidak tahu. Mungkin skuad Olimpik perlu memberi lebih tumpuan di posisi midfield atau kita perlu play maker untuk menjadikan permainan lebih rancak.

Tatkala saya cuba mengelak daripada memperkatakan tentang skuad bola sepak negara, rasuah kembali lagi menggegar kita.

Saya tidak mahu mengulas panjang dakwaan rasuah bola sepak yang masih dalam siasatan pihak berkuasa, walaupun terbaru wujud dakwaan yang dikatakan melibatkan skuad kebangsaan.

Bagi saya, perkara ini perlu disertakan bukti dan jika ia benar berlaku seperti dilaporkan, maka tanganilah ia sehingga ke peringkat akar umbi.

Saya percaya ramai daripada kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Apa yang lebih menarik minat saya ialah tentang keupayaan sebenar skuad Olimpik berdepan ujian pertama menentang Lebanon pada 19 Jun ini.

Jika aksi kurang menyakinkan tewas 0-4 kepada Qatar, kelmarin dijadikan ukuran, saya rasa sudah ramai yang mampu mencongak nasib mereka selepas ini.

Skuad Harimau Muda yang membawa harapan rakyat Malaysia untuk melihat aksi di Sukan Olimpik London 2012 perlu bangun.

Belum terlambat untuk mencari kelemahan dan memperbaikinya.

Asalkan ada kemahuan dan jiwa profesional, saya dapat rasakan kita mampu mengatasi Lebanon untuk membawa bekalan selesa di Bukit Jalil pada 23 Jun ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5eN39uj4x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan