ARKIB : 12/07/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Aksi Mokhtar Dahari ketika menentang pasukan luar
negara pada tahun 1980-an.
KUALA LUMPUR - Semalam genap dua dekad penyerang
legenda bola sepak negara dan Asia era 70-an hingga 80-an, Allahyarham Datuk
Mokhtar Dahari atau Supermokh kembali ke rahmatullah.
Menjelang perlawanan persahabatan dengan Arsenal di
Bukit Jalil, esok, nama Supermokh kembali dikenang apabila beliau pernah
mencipta sejarah dengan meledak dua gol untuk menewaskan kelab England itu 2-0
di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Mei 1975.
Anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini menghembuskan
nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi 11
Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit motor neurone.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tengku
Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohamad Redza yang juga bekas pemain bola
sepak Selangor, Nur Azera dan Nur Arina.
Mokhtar dan Diego Maradona turut bertembung di
Stadium Merdeka dalam perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor dengan
Boca Juniors pada 1982, empat tahun sebelum bekas jagoan dan jurulatih
Argentina itu menjulang Piala Dunia di Mexico.
Malah gol Mokhtar antaranya menerusi rembatan deras
lagi tepat bak peluru ke atas England B di Stadium Merdeka pada 1978
mengagumkan ramai pemain, jurulatih, wartawan dan peminat dalam dan luar negara
untuk mengikat lawan 1-1.
Gara-gara rembatan jarak jauh yang menewaskan Joe
Corrigan itulah, gelaran Supermokh melekat padanya sehingga jurulatih England
B, Bobby Robson berkata, "Gol itu sesuatu yang istimewa dan antara yang
terbaik pernah saya saksikan."
Sepanjang mewakili Selangor dan Malaysia dari 1971
hingga 1987, Mokhtar menjaringkan 177 gol dalam Piala Malaysia dan 125 gol di
pentas antarabangsa selain menjulang trofi itu 10 kali, Pestabola Merdeka,
pingat emas Sukan Asia 1974 dan Sukan SEA 1979 di samping bergelar Olahragawan
Kebangsaan 1976.
Allahyarham turut dianugerahkan sebagai Ahli Kelab
Seabad Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 1999 manakala pada 8 Mei 2010,
Kementerian Belia dan Sukan memberikan penghormatan kepadanya dengan menamakan
salah satu gelanggang Kompleks Futsal Putrajaya, Gelanggang Mokhtar Dahari.
Selain itu Kumpulan Utusan pernah menerbitkan
sebuah buku biografi khas untuk Allahyarham berjudul 'Mokhtar Dahari - Perginya
Seorang Legenda Bola Sepak' dengan kata-kata pentingnya dipetik berbunyi,
"saya bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini."
Di luar gelanggang, Supermokh turut berbakat
sebagai penulis sukan dengan diundang sebagai kolumnis 'Mokhtar Dahari Menulis'
dalam majalah terbitan Kumpulan Utusan, Dunia Sukan sekitar 1980-an selain
mendukung watak kecil filem komedi, 'Mekanik' pada 1983.
Biografinya berjudul The Untold Truth About
Supermokh turut ditayangkan menerusi National Geographic Channel pada 30 Ogos
2010.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eYFrJL00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan