Ahad, 3 Februari 2019

Subahan yakin skuad negara menang selesa


ARKIB : 27/06/2011
Oleh NORAZRIN MARZUKI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pengurus pasukan bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yakin Malaysia mampu menewaskan Taiwan pada perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014, Rabu ini.

Keyakinan untuk menang dengan jaringan yang besar, menurut Subahan disokong kuat dengan rekod pertemuan kedua-dua pasukan yang menyebelahi pasukan negara, yang menang tujuh daripada lapan perlawanan sebelum ini.

"Saya seorang yang optimistik. Ini perlawanan penting yang perlu dimenangi dengan jaringan besar sebelum ke Taipei (perlawanan kedua 3 Julai). Kita juga pernah lawan Taiwan lapan kali, sejarah mengatakan kita pernah kalah hanya sekali, itu pun dengan gol yang tipis.

"Saya nampak semua pihak sekarang semakin mengambil berat termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Ia perlu jadi satu kesinambungan daripada kejayaan skuad Kelayakan Olimpik (yang mara ke pusingan akhir kelayakan, Rabu lalu).

"Jadi, kalau ikut atas kertas saya yakin kita boleh menang (di Stadium Nasional, Bukit Jalil)," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Templer selepas majlis penyerahan Rumah 1Malaysia di Selayang Pandang, semalam.

Ditanya mengenai masalah kecederaan yang membelenggu skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal, Subahan mengakui kesannya tetapi dijamin tidak akan melemahkan semangat pasukan untuk mencapai kejayaan seterusnya mara ke pusingan kedua.

Jelasnya, masalah ini masih mampu ditampung dengan kehadiran tonggak skuad Kelayakan Olimpik selepas menentang Lebanon, Rabu lalu, seperti Mohamad Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Mahalli Jasuli yang turut membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF tahun lalu.

"Kita ada ramai pemain muda antara 19 hingga 23 tahun. Masing-masing ada keistimewaan sendiri walaupun kita ada pemain harapan contohnya Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd. Radzak. Kita juga tidak boleh menafikan bakat dan kemampuan pemain muda lain," katanya.

Mengenai khidmat Norshahrul katanya, penyerang Kelantan itu dijangka mampu pulih daripada kecederaan kecil urat pelipat lutut malah berpeluang diletakkan di bangku simpanan terlebih dulu.

"Saya yakin dengan latihan dan rawatan khusus fisioterapi ketika ini, kita akan dapat semula khidmat Safee dan Norshahrul di barisan depan dalam usaha memburu bekalan gol yang besar di Bukit Jalil," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eSxS7XUu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan