Ahad, 3 Februari 2019

Pemain perancang penting – Dollah


ARKIB : 06/07/2011
KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan memerlukan seorang pemain perancang utama untuk mengawal situasi semasa perlawanan.

Bekas penyerang kebangsaan, Dollah Salleh berkata, peranan seorang pemain yang mampu mengurangkan tekanan amat diperlukan bagi memastikan rentak permainan dapat berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan sukar.

Tambah Dollah yang kini membimbing Pahang, keadaan akan menjadi kucar-kacir sekiranya tekanan yang dihadapi tidak mampu dikawal dengan tenang dalam sesebuah pasukan.

‘‘Bagi saya peranan seorang pemain yang dapat bersuara dan memberi arahan ketika permainan berlangsung dalam keadaan getir mampu mengurangkan tekanan rakan sepasukan lain.

‘‘Malah peranan yang dimainkan oleh kapten pasukan, Safiq Rahim juga amat baik dan semua pemain tidak kira di bahagian mana sekalipun perlu mengekalkan prestasi mereka untuk menentang Singapura,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Dollah turut mengharapkan kelemahan seperti pertahanan yang longgar ketika dalam dua perlawanan menentang Taiwan dapat diperbaiki.

‘‘Saya lihat pasukan negara mempamerkan peningkatan cuma ada beberapa kesilapan yang harus dielakkan ketika berkunjung ke Singapura nanti.

‘‘Bagi saya pasukan negara masih mampu untuk memberikan ancaman kepada pasukan lawan dan ini terbukti apabila mereka dapat menggegar kubu pertahanan Taiwan di laman lawan tempoh hari,’’ jelas Dollah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5eXaMQSMB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan