KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegur kelalaian
barisan pertahanan skuad Harimau Malaya, sehingga dibolosi enam gol ketika aksi
persahabatan dengan Liverpool, Sabtu lalu.
Menurutnya, beliau tidak gembira dengan bahagian
pertahanan skuad Datuk K. Rajagobal apabila kalah 3-6 Sabtu lalu, setelah tewas
0-4 kepada Arsenal sebelum itu, sebaliknya memuji rangkaian serangan yang
menunjukkan peningkatan.
"Saya tidak beberapa gembira selepas kita
tewas dengan Arsenal, kemudian pada perlawanan menentang Liverpool ada sedikit
peningkatan melalui rangkaian serangan.
"Namun barisan pertahanan seperti terlupa
bagaimana mahu bermain secara bertahan," katanya pada pelancaran Logo
Ulang Tahun Ke-25 UFL di sini, semalam.
Jelasnya, pemain pertahanan perlu segera bangkit
untuk perlawanan penting Sabtu ini dan Khamis minggu depan menentang Singapura
dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan kedua.
"Kita perlu mencari jalan terbaik untuk
mempertingkatkan mutu rangkaian pertahanan tetapi sekurang-kurangnya kita boleh
berasa lega dengan ketajaman barisan serangan selepas berjaya merobek gawang
Liverpool Sabtu lalu melalui jaringan penyerang, Safee Sali dan ketua pasukan,
Safiq Rahim.
"Saya juga berharap ketika bertemu Singapura
Sabtu ini, pemain tengah mampu untuk menunjukkan permainan yang lebih kreatif
untuk mencari jaringan sebagai bekalan bagi perlawanan timbal balik di Kuala
Lumpur," katanya.
Katanya, semua pemain harus kekal fokus dan beliau
yakin Rajagobal mempunyai ramuan tersendiri untuk mencatat keputusan terbaik
seterusnya melangkah jauh dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014.
"Saya juga mengharapkan masalah kecederaan
yang menghantui pemain skuad kebangsaan dapat diatasi dengan segera, bagi
membolehkan kita membariskan skuad terkuat bertemu pasukan negara jiran
ini," katanya.
Beliau juga mengharapkan skuad Olimpik mampu
memberikan persembahan terbaik menentang Chelsea dalam satu lagi perlawanan
persahabatan siri jelajah pra-musim kelab Liga Perdana England yang akan
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini.
"Saya harap pasukan bimbingan Ong Kim Swee
mampu mempamerkan permainan terbaik dan menimba pengalaman sebanyak mungkin,
mereka perlu bertindak bijak dalam membuat keputusan bila untuk bertahan dan
bagaimana hendak menyerang.
"Chelsea memang lawan yang sukar malah kita
juga tidak mengharapkan kejutan, tetapi saya tidak risau ini adalah masa untuk
mereka belajar, mereka harus bersedia menjelang misi yang lebih besar September
ini," katanya.
Skuad Olimpik akan menyambung misi kelayakan ke
London 2012 September ini selepas diundi bersama pasukan gergasi Asia, Jepun
selain Bahrain dan Syria dalam Kumpulan C
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eZZSlGgy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan