ARKIB : 16/06/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Azzuddin Ahmad
KUALA LUMPUR - Krisis rasuah dalam bola sepak
negara memasuki episod kemuncak apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad semalam tidak menolak kemungkinan ada
pemain skuad Harimau Malaya dan Olimpik terlibat dengan kegiatan mengatur
perlawanan peringkat antarabangsa.
Malah kata Azzuddin, perkara itu sudah pun berada
pada peringkat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
polis.
"Saya tidak boleh nafikan memang ada (kegiatan
mengatur perlawanan). Saya tidak boleh kata bahawa saya menafikan perkara itu
berlaku di kalangan pemain skuad kebangsaan kita.
"Begitupun saya tidak boleh hebahkan perkara
ini terlalu mendalam kepada media kerana saya tidak mahu mengganggu siasatan
kerana mungkin banyak tohmahan yang tidak betul akan dilemparkan.
"Proses mencari dan mendapatkan bukti terhadap
perkara ini mengambil masa, jadi saya tidak boleh sentuh mengenai perkara ini
lebih mendalam.
"Saya mesti adil kepada sesiapa yang terbabit,
kita tak boleh buat tindakan tanpa berdasarkan sebarang bukti yang kukuh,
" katanya ketika ditemui selepas pelancaran Chelsea Blue Pitch di NPNG
Sports Centre, Damansara Damai, semalam.
Ketika ditanya pihak media kemungkinan kegiatan
mengatur perlawanan turut membabitkan pihak atasan seperti jurulatih, Azzuddin
hanya memberikan reaksi: "Saya kesal jika benar (jurulatih) itu terbabit.
Jika dia ada terlibat, dia perlu bersedia menghadapinya, " katanya.
Pengakuan Azzuddin semalam merupakan satu lagi
pendedahan terhadap gejala rasuah dalam bola sepak tempatan.
Sebelum ini, jurulatih Piala Presiden Negeri
Sembilan, Yusarman Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 21 pertuduhan
mengatur perlawanan di samping penahanan seorang lelaki yang dipercayai bookie
yang terbabit mengaturkan perlawanan membabitkan T-Team.
Seandainya apa yang diperkatakan Azzuddin
benar-benar berlaku, ia pasti mengecewakan penyokong setia negara ketika
sokongan kepada skuad kebangsaan kembali meningkat selepas Malaysia menjuarai
Piala Suzuki AFF 2010.
Persoalannya, adakah dengan pengakuan Azzuddin
semalam, kes rasuah dalam arena bola sepak tempatan sebenarnya lebih teruk
berbanding hanya dua kes sahaja yang dilaporkan setakat ini?
Atau mungkinkah rasuah bola sepak yang menggegarkan
negara pada tahun 1994 dan 1995 kini sebenarnya sudah berulang?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMkIAt7x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan