Selasa, 16 Disember 2014

Safiq cedera, tapi enggan mengalah

17 Disember 2014 1:00 AM

 Safiq Rahim tetap menjalani latihan semalam bagi perlawanan akhir
Safiq Rahim tetap menjalani latihan semalam bagi perlawanan akhir
Safiq Rahim tetap menjalani latihan semalam bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok walaupun dia masih terasa sakit akibat kecederaan di bahagian lutut. – UTUSAN
BANGKOK - Setelah Shukor Adan disahkan boleh beraksi, kini Safiq Rahim pula menimbulkan kebimbangan dalam kem Malaysia apabila pemain tengah itu bergelut dengan kecederaan di lutut kanan.
Kecederaan itu dialaminya sejak kempen Piala AFF 2014 di pe­ringkat Kumpulan B, namun gagal memaksa Safiq mengalah dan kini pengorbanannya berbaloi apabila membawa Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir.
Walaupun begitu, kecederaan Safiq tampak semakin serius selepas perlawanan separuh akhir kedua dengan Vietnam namun pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tetap berdegil mahu diturunkan.
“Tidak, saya sama sekali tidak mahu terlepas dua perlawanan akhir ini, aksi yang cukup penting kepada kami dan saya sanggup melakukan apa sahaja untuk diturunkan.
“Kecederaan ini saya alami sejak di Singapura cuma semakin lama semakin terasa kerana tempoh pemulihan yang pendek.
“Saya akan berjuang habis-habisan sbiarpun terpaksa bermain dalam kesakitan.
“Berdasarkan laporan fisioterapi, saya masih belum cergas 100 peratus tetapi itu tidak menghalang niat saya untuk bermain,” katanya yang ditemui sebelum sesi latihan akhir di Stadium Rajamangala semalam.
Safiq kini merupakan penja­ring terbanyak Piala AFF edisi ke-10 dengan empat gol, berkongsi kedudukan bersama penyerang Viet­nam, Le Cong Vinh.
Memainkan peranan penting di bahagian tengah, khidmat Safiq amat ditagih oleh Dollah kerana pemain yang berasal dari Selangor ini mampu membantu barisan pertahanan selain membuka ruang kepada penyerang.
Berdasarkan sesi latihan akhir semalam, Safiq dilihat mampu bermain dengan baik dan dijangka tetap akan disenaraikan oleh Dollah. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-cedera-tapi-enggan-mengalah-1.37287#sthash.ypQtiEzT.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan