Isnin, 15 Disember 2014

Naluri Indra berkata, harimau akan menang

MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  15 Disember 2014 1:02 AMSEPANG - Dua kali beraksi di tempat lawan, kedua-duanya ber­akhir dengan kemena­ngan.Atas faktor tersebut, tonggak veteran, Indra Putra Mahayuddin mempu­nyai naluri yang kuat bahawa Thailand mampu menjadi mang­sa ketiga Harimau Malaya selepas Si­ngapura dan Vietnam dalam kempen Piala AFF.

Tidak langsung tertekan beraksi di laman orang, Indra sebaliknya berkata, suasana ‘panas’ itu menjadi kelebihan tanpa disedari apabila mereka mampu beraksi positif dan mengikut segala arahan jurulatih.
Pemain berusia 33 tahun itu juga menegaskan, tiada ada yang perlu digentarkan apabila berdepan anak-anak buah Kiatisuk Senamuang walaupun skuad Gajah Putih masih belum kalah sepanjang edisi ke-10 Piala AFF.
“Dua kali kami berjaya menang ketika beraksi di gelanggang luar dan itu memberi satu petanda baik.
“Ia juga meningkatkan motivasi kami menjelang perlawanan pa­ling penting menentang Thailand.
“Tidak mustahil Thailand boleh dijinakkan di laman sendiri jika kami mempamerkan aksi yang sama.
“Apa saja orang cakap mengenai mereka, saya dan rakan-rakan tidak kisah.
“Kami telah membuktikan kepada mereka pada ketika ramai yang tidak meletakkan harapan,” katanya di klia2 sebelum berlepas ke Bangkok, semalam.
Selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama di Shah Alam, Malaysia mengejutkan mereka 4-2 di Hanoi.
Pasukan negara sebelum itu juga menundukkan penyandang juara, Singapura 3-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Indra yang dipertaruhkan oleh jurulatih, Dollah Salleh dalam ke­sebelasan utama di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Khamis lalu membalas kepercayaan apabila menjadi watak penting kepada dua daripada empat gol Malaysia.
Sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim berpunca akibat Indra dijatuhkan pada minit ketiga, sebelum bola hantaran lintangnya mengenai badan pertahanan Vietnam, Dinh Tien Thanh dan mela­ntun masuk ke gawang pada minit ke-29.
Berdepan Singapura, Indra muncul penjaring gol terakhir selepas memanfaatkan ketiadaan penjaga gol, Hassan Sunny yang naik ke atas pada masa kecederaan.
Bertemu Thailand, misi Indra hanya satu iaitu mendapatkan gol awal buat Harimau Malaya bagi memudahkan tugas apabila beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Sebaik sahaja perlawanan bermula, saya rasa kita kena dapatkan jaringan awal supaya memberi tekanan kepada tuan rumah, selain membawa pulang gol di tempat lawan,” kata pemain Felda United itu.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-hebat-di-tempat-lawan-8232-1.36504#sthash.sr51x5tu.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan