ARKIB : 30/08/2007
Piala Merdeka hadiah ulang
tahun negara ke-50
KAMI JUARA... Barisan pemain
Malaysia gembira meraikan kejayaan muncul juara Pestabola Merdeka edisi ke-39
di Stadium Shah Alam, malam tadi. Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada
1993, menewaskan Myanmar 3-1. – Gambar ASWAD YAHYA.
SHAH ALAM 29 Ogos - Skuad bola
sepak negara menebus aib pada Piala Asia lalu apabila memberi hadiah paling
bermakna kepada sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50 dengan menjuarai
Pestabola Merdeka edisi ke-39 di Stadium Shah Alam, hari ini.
Kemenangan 3-1 ke atas juara
bertahan, Myanmar pada perlawanan akhir itu turut mengakhiri kemarau kejayaan
14 tahun bola sepak Malaysia.
Kali terakhir Malaysia muncul
juara Pestabola Merdeka ialah pada tahun 1993 ketika mengalahkan Korea Selatan ‘B’
dengan angka yang sama 3-1.
Ini merupakan kejuaraan ketujuh
berjaya diraih skuad negara dalam sejarah Pestabola Merdeka yang mula
diperkenalkan pada 1957.
Sebelum ini, Malaysia pernah
muncul juara pada tahun 1968, 1973, 1974, 1976, 1986 dan 1993.
Bagaimanapun ini tidak termasuk
muncul juara dua kali atas nama Malaya pada 1958 dan 1959 serta dua kali muncul
juara bersama Korea Selatan pada 1960 (Malaya) dan 1979 (Malaysia).
Gol-gol Malaysia malam tadi
dijaringkan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak, Safee Sali sambil dibantu gol sendiri
Aung Myo Thant manakala gol tunggal Myanmar dijaringkan Tun Tun Win.
Turun beraksi tanpa ketua
pasukan, Shukor Adan yang mengalami kecederaan, Malaysia yang mendapat sokongan
45,000 penyokong sendiri lebih dulu membuka jaringan menerusi Mohd. Zaquan Adha
Abd. Razak pada minit ke-12.
Kedua-dua pasukan saling
mengasak selepas itu dengan permainan berlangsung agak seimbang tetapi tiada
jaringan dihasilkan sehingga berakhir babak pertama.
Bagaimanapun babak kedua
berlangsung agak tegang dengan terjahan-terjahan keras tetapi gol sendiri Aung
Myo Thant pada minit ke-56 mengukuhkan lagi kedudukan skuad negara.
Safee Sali kemudiannya
membuatkan stadium terus bergegar apabila menjaringkan gol ketiga pada minit
ke-60.
Ketinggalan 0-3 tidak
mematahkan semangat Myanmar untuk terus mengasak dan usaha keras mereka
berbalas apabila memperoleh gol sagu hati menerusi Tun Tun Win pada minit
ke-73.
Dengan kemenangan itu, Malaysia
meraih AS$10,000 (RM35,000) selaku juara manakala Myanmar membawa pulang
AS$5,000 (RM17,516) selaku naib juara.
Hadiah disampaikan Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir menyaksikan
perlawanan akhir itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir
Toyo.
SUMBER
Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm#ixzz3MJTsAvi6©
Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan