Shah Alam: Jika kejayaan Piala
AFF 2010 mahu dijadikan pemangkin semangat Harimau Malaya, sudah pasti sandaran
untuk mengulanginya terletak di bahu penyerang Safee Sali (gambar).
Pada edisi empat tahun lalu,
Safee yang tenggelam pada aksi peringkat kumpulan mula mempamerkan sentuhan
dengan ledakan lima gol untuk membawa Malaysia ke final sebelum muncul juara
buat kali pertama sejak 1996.
Malah pertemuan dengan Vietnam
pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad ini pasti mengimbau
kembali kebangkitan Safee yang menjaringkan dua gol pada 2010 untuk Malaysia
menang 2-0 ke atas pasukan juara 2008 itu di Stadium Nasional Bukit Jalil
sebelum seri 0-0 di Hanoi.
Namun Safee, 30, yang
mencetuskan inspirasi kemenangan skuad Dollah Salleh ke atas Singapura, Sabtu
lalu untuk melepasi halangan Kumpulan B bersama Thailand tidak mahu
terbawa-bawa dengan kejayaan silam itu.
“Tahun 2010 satu kejayaan tapi
2014, perjalanan baru. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu
pasukan menang di tempat sendiri. Motivasi semua pemain sekarang berada di
tahap terbaik selepas menang di Singapura dan diharap permainan kami akan terus
meningkat,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam
semalam.
Bagaimanapun Safee yang menutup
kritikan terhadap prestasi hambarnya dengan gol pembukaan ke atas Singapura
mengakui perlu berusaha keras untuk meningkatkan tahap kecergasannya.
“Saya belum cergas sepenuhnya
dalam dua perlawanan sebelum ini. Saya tidak dapat beraksi 90 minit dan harap
kelemahan ini dapat diatasi sebelum menentang Vietnam,” kata bintang Johor
Darul Ta’zim itu.
Safee terlepas daripada
sebarang hukuman keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu gambar
dia menghisap rokok di salah sebuah restoran di Singapura apabila badan induk
itu hanya memberikan amaran keras kepadanya.
“Itu hanyalah provokasi dari
pihak Singapura, saya tidak boleh buat apa-apa. Perkara ini sudah berlalu dan
saya membuktikan kemampuan dengan menjaringkan gol dan kami berjaya menewaskan
mereka,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:06 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/13593#sthash.GzB8mzPv.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan