Selasa, 2 Disember 2014

Nostalgia Piala Tiger 2004

Kenangan lalu jadi pengajaran Oleh AMRAN MULUP

 DUA kenangan pahit Sukan SEA 1991 dan 1997 apabila ditewaskan oleh Filipina serta Laos dengan jaringan 1-0 pastinya masih diingati skuad bola sepak kebangsaan.
Kekalahan tersebut pastinya menjadi pengajaran dan tidak akan berulang yang mungkin memalitkan malu paling besar apabila skuad bola sepak negara membuka tirai perlawanan Kumpulan B Piala Tiger bertemu pendatang baru, Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kalah kepada Timor Leste bakal mengundang musibah paling besar buat jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei dan anak didiknya.
Berdasarkan rekod pencapaian terbaik skuad kebangsaan di Piala Tiger apabila muncul naib juara di Singapura pada 1996, tempat ketiga (2000), tempat keempat (2002) dan di peringkat kumpulan (1998).
Buat Bicskei tidak banyak pilihan melainkan kemenangan ke atas lawan sebagai langkah awal untuk mengisi salah satu tempat ke separuh akhir.
Selepas ini skuad kebangsaan akan berdepan dengan Filipina sebelum menempuh dua laluan berliku bertemu Myanmar dan perlawanan terakhir dengan juara bertahan, Thailand.
Secara realistik peluang Malaysia adalah cerah untuk mencuri satu tempat ke separuh akhir kerana saingan paling getir adalah berdepan dengan Thailand yang menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara.
Begitupun laluan mudah pastinya ke atas Filipina yang sepanjang empat kejohanan Piala Tiger tidak pernah memenangi sebarang perlawanan.
Manakala Myanmar pula yang tidak pernah melepasi saingan ke separuh akhir dilihat sedikit memberi cabaran.
Jurulatih dari Hungary itu pastinya mencongak strategi dengan senarai 22 pemain ketika tanpa kelibat Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin yang mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan ini dua tahun lalu di Jakarta.
Tanpa kedua-dua pemain tersebut pastinya, Bicskei mengharapkan gandingan dua pemain Perak, Muhammad Khalid Jamlus dan V. Saravanan serta dibantu oleh penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah mengemudi jentera serangan.
Skuad kali ini dilihat pincang dengan ketiadaan beberapa pemain berpengalaman seperti Tengku Hazman Raja Hassan dan Hairuddin Omar yang boleh menjelaskan wajah suram Bicskei mengadunkan kesebelasan terbaik malam ini.
Bicskei pastinya mengharapkan kecemerlangan penjaga gol Syamsuri Mustafa serta gandingan Chow Chee Weng, Khaironnisam Sahabuddin, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani mengemudi benteng pertahanan.
Penggerak bahagian tengah bakal dipikul oleh K. Nanthakumar, Fadzli Shaari, Shukor Adan dan D. Surendran.
Manakala bahagian serangan bakal dipikul oleh Saravanan, Khalid Jamlus dan Amri Yahyah untuk memastikan kemenangan bermakna buat Malaysia.
Atas kertas Timor Leste dilihat bukan lawan yang cukup digeruni kerana mereka masih baru dalam sukan bola sepak dan penyertaan di Piala Tiger adalah penampilan pertama di peringkat antarabangsa.
Tidak banyak yang diketahui mengenai kekuatan sebenar Timor Leste tetapi rata-rata jurulatih yang mengambil bahagian menyifatkan pasukan itu tidak boleh dipandang remeh.
Selain diterajui oleh jurulatih dari Portugal, Jose Luis, mereka turut memiliki tiga pemain daripada kelab di Australia dan Portugal.
Dua pemain mereka beraksi dengan kelab Divisyen Tiga Australia iaitu pemain tengah, Felicio Margarido Guterres mewakili kelab Palmonstam Lafaek Darwin dan penyerang, Geovani Manuel Babo dengan kelab Endevohill United Darwin, Australia.
Seorang lagi pemain pertahanan, Alfredo Manuel Mousinho Esteves pula bermain dengan kelab Divisyen Dua Portugal, kelab Oliveira do Bairo Sport Club. 
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3KcqVJyzm© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan