Jumaat, 5 Disember 2014

Dollah ambil sikap kunci mulut

MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  05 Disember 2014 1:15 AM


KUALA LUMPUR 4 DISEMBER 2014 - PEMAIN Kebangsaan, Safiq Rahim
KUALA LUMPUR 4 DISEMBER 2014 - PEMAIN Kebangsaan, Safiq Rahim
PEMAIN tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim (tengah) membuat latihan ringan bersama-sama pemain pertahanan Mohd. Fadhli Shas sebelum memulakan sesi latihan taktikal di Wisma FAM Petaling Jaya semalam. – utusan /MOHD. NAIM AZIZ
PETALING JAYA - Demi memastikan maklumat penting mengenai persiapan pasukan tidak bocor sebelum hari perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014, pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh, tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan berahsia, termasuk kepada pihak media.
Semuanya gara-gara dia terkilan kerana pihak media Singapura dapat mengetahui dengan tepat senarai kesebelasan utama dan formasi yang akan digunakan sebelum pertemuan terakhir peringkat Kumpulan B dengan pasukan republik itu pada 29 November lalu.
Justeru itu, Dollah mungkin mengambil pendekatan berlainan supaya lawan berteka-teki apakah strategi yang akan digunakan Harimau Malaya ter­utama dalam soal meletak­kan pengganti Mohd. Amri Yahyah dan Shukor Adan.
“Saya sedikit terkilan tentang bagaimana media cetak Singapura boleh mengetahui secara terperinci kesebelasan utama kita yang akan digunakan dalam perlawanan tempoh hari. Mereka tidak silap walau seorang pun.
“Siapa kita letakkan di bahagian tengah...siapa bermain di posisi pertahanan tengah, semuanya tepat. Saya hairan bagaimana pihak lawan boleh tahu sampaikan saya menggeleng kepala melihat perkara itu boleh terjadi walaupun sesi latihan itu hanya dibuka kepada media Malaysia.
“Mungkin saya patut lebih berahsia dengan pihak media sehingga ke hari perlawanan untuk mengelak terjadi lagi apa yang berlaku di Singapura,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan Harimau Malaya di Petaling Jaya semalam.
Strategi pengendali berusia 51 tahun itu meletakkan Shukor di bahagian pertahanan tengah dan Amri di posisi sayap kiri berjaya dikesan oleh beberapa media Singapura walaupun tiada seorang pun petugas media dari republik itu dibenarkan masuk 15 minit selepas sesi latihan bermula.
Kejadian itu juga membuatkan Dollah masih berkira-kira untuk mengumumkan siapakah ketua pasukan yang akan menggantikan Shukor, yang digantung satu perlawanan bersama-sama Amri setelah mengumpul dua kad kuning di pe­ringkat kumpulan.
Dollah juga berkata, dia tidak akan membawa ketua pasukan ke sidang akhbar mesyuarat pengurus pasukan pada petang ini.
“Belum tahu lagi siapa yang akan jadi ketua pasukan...ini pun menjadi satu isu juga. Saya hanya akan umumkan menjelang hari perlawanan nanti, saya tidak akan beritahu pada mesyuarat pengurus esok (hari ini),” katanya.
Stadium Shah Alam dijangka dipenuhi penyokong Malaysia apabila 15,000 tiket yang dijual secara dalam talian dikatakan telah habis dalam tempoh dua hari.
Khabar itu meningkatkan mood Dollah yang teruja dengan sambutan luar biasa peminat Harimau Malaya.
Tambahnya, kehadiran penyokong yang ramai penting untuk memberikan suntikan semangat kepada para pemainnya untuk berusaha sebaik mungkin dalam misi memburu bekalan gol yang selesa.
“Inilah yang saya sangat inginkan, penonton-penonton datang beri sokongan yang tidak berbelah-bahagi kerana kehadiran mereka dapat me­nyuntik semangat para pemain untuk mempertingkatkan prestasi.
“Kita bukan setakat mahukan bekalan dua hingga tiga gol tetapi mahu memastikan lawan tidak membawa pulang jaringan di tempat lawan...kalau boleh gawang kita langsung tidak bolos,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-ambil-sikap-kunci-mulut-1.32733#sthash.YrZl7fmM.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan