-Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
PEMAIN Harimau Malaya sugul
setelah gagal merangkul trofi AFF Suzuki 2014 biarpun menang 3-2, namun secara
agregat tewas 3-4 kepada Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
KELEBIHAN tiga gol awal
ternyata masih lagi tidak menjadi kelebihan buat skuad Harimau Malaya sejurus
tewas 3-4 secara agregat kepada Thailand pada aksi kedua final Piala AFF Suzuki
2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Lebih perit, pasukan bimbingan
Dollah Salleh terpaksa menelan hakikat apabila gagal memenangi Piala AFF Suzuki
meskipun berjaya menewaskan Thailand 3-2 ketika beraksi di laman sendiri.
Sebaliknya, Thailand yang
menewaskan Harimau Malaya 2-0 pada aksi timbal balik pertama di Stadium
Rajamangala di Bangkok pada 17 Disember lalu, tampil ceria apabila berjaya
menamatkan penantian 12 tahun skuad Gajah Perang yang kali terakhir menjulang
Piala AFF Suzuki pada tahun 2002.
Selain itu, Thailand kini
berkongsi bersama Singapura yang memegang rekod empat kali juara Piala AFF
Suzuki apabila skuad Gajah Perang itu menang dalam edisi 1996, 2000, 2002 dan
kini 2014.
Beraksi di separuh masa
pertama, skuad Harimau Malaya tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai
jaringan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim seawal minit kelima.
Kejayaan itu hadir apabila tonggak
pertahanan Thailand menjatuhkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha
ketika menerima hantaran daripada Azzamuddin Akil pada minit keempat.
PEMAIN Thailand meraikan
kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki 2014 setelah menewaskan Malaysia secara agregat
4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Pengadil perlawanan dari Iran,
Faghani Alireza Mohammad memberikan sepakan penalti. Safiq tidak berdepan
masalah untuk menewaskan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.
Tersentak dengan jaringan
tersebut, skuad Gajah Perang mengasak benteng pertahanan negara dalam usaha
untuk mencari gol penyamaan.
Keghairahan pasukan pelawat
untuk mengikat kedudukan akhirnya dihukum skuad negara apabila Indra Putra
Mahayuddin meledak gol kedua pada masa kecederaan.
Bersambung di babak kedua
perlawanan, skuad Thailand semakin tertekan untuk memburu jaringan dengan
melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang negara.
Bagaimanapun, benteng
pertahanan Harimau Malaya yang diketuai oleh Shukor Adan berjaya menggagalkan
setiap percubaan yang diatur oleh pasukan bimbingan Kiatisuk Senamuang.
Keajaiban terus berlaku apabila
Safiq sekali lagi menggegarkan Stadium Nasional menerusi jaringan ketiga
Harimau Malaya hasil sepakan percuma pada minit ke-58.
Kejayaan itu hadir sekali lagi
apabila Norshahrul dikasari di luar kotak penalti Thailand dan Safiq tenang
menyempurnakan sepakan percuma dengan menewaskan Kawin buat kali ketiga.
Bagaimanapun, kegembiraan
Harimau Malaya tidak bertahan lama apabila pemain Thailand, Charyl Chappuis
meledak gol pertama pasukan pelawat sekali menjadikan agregat 3-3 pada minit
ke-81.
Kejayaan Thailand itu hadir
apabila penjaga gol negara, Farizal Marlias gagal mendakap kemas bola
menyebabkan Chappuis mengambil peluang dan berjaya menendang bola ke gawang
Harimau Malaya.
Thailand akhirnya menamatkan
perjuangan skuad negara apabila Chanathip Songkrasin meledak gol kedua skuad
Gajah Perang pada minit ke-87.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3MU9zSdVzHakcipta
terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan