Jumaat, 19 Disember 2014

Kami akan serang habis-habisan

Oleh JALALUDDIN BAHARIN

sukan.kosmo.com.my
 
PEMAIN Harimau Malaya menggalas tugas berat untuk memburu gol awal dalam misi merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
KETINGGALAN dua gol kepada skuad Gajah Putih menyaksikan Harimau Malaya perlu memburu tiga gol selain mengelakkan gawang daripada dibolosi oleh Thailand untuk mencapai kemenangan dalam aksi Piala AFF Suzuki 2014.
Menurut pemain tengah Harimau Malaya, Mohd. Safiq Rahim, corak permainan yang akan dipamerkan dalam aksi akhir itu lebih bersifat menyerang.
“Kami tidak akan sesekali mensia-siakan peluang yang terhidang ini walaupun telah ketinggalan dua gol. Kemenangan adalah matlamat utama yang perlu dicapai apabila bermain di tempat sendiri dan saya yakin dengan sokongan padu penyokong skuad Harimau Malaya, ia akan memberi satu motivasi penting untuk kami berjuang habis-habisan.
“Ya jika dalam aksi akhir pertama, fokus kami adalah bermain secara bertahan, namun kali ini kami akan bermain secara serangan untuk mencari gol awal yang dilihat mampu untuk menaikkan semangat pemain bagi menambah lagi gol.
“Bagaimanapun apa yang bakal dilakukan itu tidak bermakna kami akan mengabaikan posisi pertahanan. Kami perlu bermain dengan rentak yang pantas iaitu secara menyerang dan dalam masa yang sama bertahan apabila ada pemain lawan berada dalam kedudukan yang boleh membahayakan kubu skuad negara,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Dalam aksi akhir pertama yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok Rabu lalu, skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Thailand yang mana jaringan gol awal menerusi sepakan penalti telah menjejaskan rentak permainan skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh.
Susulan daripada perkara itu, skuad Gajah Perang ternyata tidak mensia-siakan peluang untuk menggandakan gol dan hasilnya, mereka berjaya menambah satu lagi gol untuk dijadikan bekalan semasa bertandang dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Safiq menjelaskan, strategi dan perancangan untuk merobek benteng pertahanan Thailand sebenarnya sudah diatur oleh Dollah Salleh.
“Kami sudah pun mempunyai perancangan tersendiri iaitu mencari gol awal dan elakkan gawang daripada dibolosi. Saya berharap agar penyokong-penyokong Harimau Malaya akan mendoakan kejayaan kami serta akan terus menyokong kami,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3MPmEyPF6Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan