25 Disember 2014 12:33 AM
KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini
masih ada sedikit ruang bagi penyerang tempatan beraksi dengan kehadiran tiga
pemain import di atas padang, kini dengan tambahan seorang lagi kuota import
mungkin akan menyebabkan tiada lagi aksi bintang tempatan mengemudi jentera
serangan.
Itu kebimbangan yang disuarakan
penyerang Harimau Malaya dan Terengganu, Abdul Manaf Mamat, yang mengakui
majoriti jurulatih di Liga Malaysia pasti akan memilih dua penyerang import
bagi mendapatkan kejuaraan berbanding tempatan.
“Masa ada tiga pemain import
pun, saya rasa semua orang boleh nampak berapa ramai penyerang tempatan
termasuk berstatus kebangsaan digunakan dalam kesebelasan utama oleh kebanyakan
pasukan.
“Jadi, dengan tambahan seorang
lagi pemain import, saya rasa sudah tentu dua penyerang import bakal digunakan
dan kebanyakan pemain tempatan mungkin terpaksa menyesuaikan diri dengan posisi
lain seperti pemain sayap atau tengah jika mahu ada dalam kesebelasan utama.
“Semua pasukan inginkan kejar
kejuaraan dan sudah tentu soal siapa main tidak akan difikirkan oleh mereka
asalkan mereka mampu mencapai keputusan yang baik untuk memuaskan hati pihak
pengurusan serta penyokong.
“Masalahnya pasti akan tiba
apabila Harimau Malaya mahu menghadapi sebarang perlawanan kerana kita tiada
penyerang tulen yang tugasnya adalah menjaringkan gol.
“Semua yang beraksi bukan
tonggak utama dalam pasukan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isu penggunaan empat pemain
import yang boleh beraksi secara serentak disambut dengan reaksi bercampur baur
sesetengah pihak apabila ada menerima secara positif dan tidak kurang yang
bimbang tentang peluang pemain tempatan untuk beraksi.
Menurut Presiden Persatuan
Jurulatih Bola Sepak Malaysia (FCAM), B. Sathianathan, ia sesuatu yang baik
dalam soal meningkatkan kualiti Liga Malaysia dan peningkatan corak permainan
apabila pemain tempatan dapat mempelajari sesuatu daripada mereka.
Bagi jurulatih Harimau Muda A,
Datuk Ong Kim Swee, FAM perlu memikirkan satu mekanisme baharu tentang
bagaimana penyerang-penyerang tempatan dapat diberikan sedikit ruang untuk
beraksi di sebalik kehadiran empat pemain import.
Walaupun begitu, Manaf cuba
mengambil positif dengan situasi berkenaan dan yakin jurulatih Terengganu
bersikap adil kepada pemain tempatan biarpun kini mendapat banyak ruang
menggunakan tenaga import sepenuhnya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sukar-buat-penyerang-tempatan-1.40552#sthash.yEmI1OLR.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan