Selasa, 2 Disember 2014

Kita tumpas di pembukaan

ARKIB : 27/08/1998

 SKUAD kebangsaan yang turun selaku naib juara pada 1996 tewas dalam perlawanan pembukaan kumpulan A Piala Tiger apabila tumpas kepada Singapura 0-2 di Stadium Hanoi, Vietnam, petang semalam.
ISHAK SALLEH melaporkan, Singapura yang tersingkir di peringkat awal pada 1996 di gelanggang sendiri, menurunkan sebahagian pemain muda menerima asakan pada sepuluh minit pertama.
Bagaimanpun, Singapura berjaya mendahului kedudukan apabila tendangan sudut sebelah kiri yang diambil oleh Kadir Yahya berjaya ditanduk oleh Rafi Ali yang menunggu di dalam kotak penalti dan gagal diselamatkan oleh Azmin Azram.
Pada minit ke-23, Malaysia membuat satu gerakan melalui Azmi Mohamad yang melorongkan bola, namun rembatan kencang Jalaluddin Jaafar berjaya dikeluarkan oleh pertahanan, R. Sasikumar.
Singapura terus menguasai perlawanan dan kemasukan Lim Soon Seng bagi menggantikan Aide Iskandar telah mengubah corak permainan Singapura menjadi lebih rancak dan banyak melakukan serangan.
Gandingan Soon Seng, Ahmad Latiff Kamaruddin dan Gusta Guzarishah benar-benar menggugat anak-anak buah jurulatih kebangsaan Hatem Soussi yang terpaksa banyak bertahan.
Pada minit ke-35, Ahmad Latif sekali menggegarkan gawang Malaysia melalui satu rembatan kencang setelah mendapat umpanan dari Soon Seng dari sebelah kiri.
Pertahanan Malaysia, V. Thinagaran yang mengawal Ahmad Latif gagal menyekat pemain muda Singapura itu yang berjaya mengelecekkan bola di dalam kotak penalti sebelum merembat dan menewaskan Azmin.
Corak permainan skuad kebangsaan agak longgar walaupun meletakkan enam pemain skuad Olimpik dan bakinya terdiri daripada pemain Liga Malaysia.
Pada separuh masa kedua, Singapura bermain dengan lebih berhati-hati dan memperlahankan perlawanan bagaimanapun mampu mengatur serangan yang menggugat pertahanan negara.
Pada minit ke-62, pertahanan negara dicabar sekali lagi oleh Ahmad Latiff yang membuat satu tendangan kencang dari penjuru kanan kotak penalti, bagaimanapun, tindakan pantas Thinagaran menolak bola keluar mengecewakan Rafi yang berada di dalam kotak penalti.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz3KcLecXCu© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan