Hanoi: Kudratnya bersama skuad
Harimau Malaya diragui namun segala-galanya terbukti kelmarin bahawa penyerang
veteran Indra Putra Mahayuddin masih berbisa di pentas antarabangsa apabila
menjadi antara tonggak kejayaan membenam Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua
Piala AFF di Hanoi.
Pemain berusia 33 tahun itu
diberikan kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama, menggantikan Mohd Safee
Sali yang mengalami kecederaan pangkal paha pada saat akhir dan dia mengambil
kesempatan itu dengan penuh bergaya.
Walaupun Indra tidak
menjaringkan gol menarik seperti ketika menyumbat gol ketiga dari jarak jauh
menentang Singapura pada aksi kumpulan, namun pemain FELDA United itu mencuri
tumpuan di depan 40,000 penyokong Vietnam di Stadium Nasional My Dinh.
Larian pertamanya dalam kotak
penalti menghadiahkan sepakan penalti buat skuad Dollah Salleh pada minit kedua
manakala hantaran lintangnya dari sebelah kiri ditampan masuk pertahanan tuan
rumah Din Tien Thanh pada minit ke-29.
Bagi Indra, ia kejayaan cukup
manis buat dirinya di pentas antarabangsa selepas beberapa tahun tidak beraksi
sehinggalah dipanggil semula Dollah pada perlawanan persahabatan dengan
Indonesia 14 September lalu.
“Bagi saya kejayaan ini
kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi semua pemain.
“Pada separuh masa pertama kami
memberikan aksi terbaik mungkin pada babak kedua rentak kami berubah, tapi yang
penting kami ke final. Ini kejayaan buat rakyat Malaysia yang mengkritik kami
tapi segala kritikan itu diambil dengan baik,” katanya yang ditemui selepas
tamat perlawanan kelmarin.
Indra yang sudah mengumpul 16
gol dalam 48 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2002 nyata tidak sabar
berdepan Thailand bagi aksi final timbal balik di Bangkok Rabu ini dan Shah
Alam, Sabtu.
Dia tidak pernah merasai
pengalaman beraksi di final Piala AFF apabila tidak berada dalam skuad juara
2010 dan tidak mahu peluang terbaik kali ini terlepas begitu saja.
“Ini final yang cukup bermakna
bagi saya di pentas antarabangsa dan saya harap kami boleh berikan aksi
terbaik,” kata Indra.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:13 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/15880#sthash.BkYLH5nU.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan