KUALA LUMPUR: Pengadil wanita,
Rita Ghani melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila memenangi Anugerah
Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014.
Dia menerima pengiktirafan
besar itu sempena Majlis Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di
Filipina, semalam.
Pengadil antarabangsa berusia
37 tahun itu berjaya mengatasi pemenang tahun lalu, Sachiko Yamagishi dari
Jepun dan calon dari Thailand, Pannipar Kamnueng.
"Saya berasa amat gembira
kerana tidak pernah terfikir bahawa saya akan memenangi anugerah ini.
Sebenarnya, saya betul-betul terkejut dengan penghargaan ini," Rita
dipetik sebagai berkata dalam laman web AFC, www.the-afc.com.
Anggota Jawatankuasa Eksekutif
AFC, Sayyid Khalid Hamed Al Busaidi menyampaikan anugerah tersebut kepada Rita.
Rita juga berharap dapat
mencapai impiannya untuk menjadi salah seorang pengadil untuk Kejohanan Piala
Dunia Wanita FIFA 2015 di Kanada.
"Saya berharap anugerah
seperti ini akan membawa saya lebih dekat untuk memenuhi impian itu,"
katanya.
Sebagai rekod, Rita terbabit
dalam enam perlawanan iaitu tiga sebagai pengadil dan tiga sebagai pegawai keempat
perlawanan pada Kejohanan Piala Asia Wanita AFC 2014 di Vietnam.
Pada kejohanan itu, Rita
mengadili perlawanan separuh akhir antara Korea Selatan dan juara bertahan
Australia.
Rita juga mengadili empat
perlawanan dan bertindak sebagai pegawai keempat dalam dua perlawanan pada
pusingan kelayakan Kejohanan Wanita Asia Bawah 16 Tahun 2015 tahun ini.
Selain itu, beliau juga menjadi
pengadil dalam tiga perlawanan termasuk perlawanan penentuan tempat kesembilan
pada Piala Algarve 2014 di Portugal, Mac lalu. - BERNAMA
INFO
Senarai Anugerah Tahunan AFC
2014
1 Diamond Asia: Junji Ogura
(Jepun)
2 Pemain Terbaik Lelaki: Nassir
Al Shamrani (Al Hilal- Arab Saudi)
3 Pemain Terbaik Wanita:
Katrina Lee Gorry (Australia)
4 Kelab terbaik: Western Sydney
Wanderers (Australia)
5 Pengadil wanita terbaik: Rita
Ghani (Malaysia)
6 Pengadil lelaki terbaik:
Ravshan Irmatov (Uzbekistan)
7 Jurulatih terbaik: Tony
Popovic (Western Sydney Wanderers-Australia)
8 Jurulatih wanita terbaik:
Asako Takemoto (Jepun B-17)
9 Fair Play: Korea Selatan
10 Pasukan kebangsaan terbaik:
Palestin
11 Pemain asing terbaik:
Asamoah Gyan (Al Hilal-Ghana)
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 1.12.201
Tiada ulasan:
Catat Ulasan