Selasa, 2 Disember 2014

Dollah terkilan hilang Shukor, Amri

01 Disember 2014 12:42 AM

Dollah Salleh kini terpaksa memikirkan siapa yang akan mengisi
Dollah Salleh kini terpaksa memikirkan siapa yang akan mengisi tempat Amri Yahyah dan Shukor Adan yang tidak dapat bermain dalam separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Vietnam kerana mengumpul dua kad kuning.
SEPANG – Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh melahirkan rasa terkilannya tetapi terpaksa menerima hakikat bahawa Harimau Malaya kehilangan dua tonggak penting, Amri Yahyah dan ketua pasukan Shukor Adan untuk separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam Ahad ini.
Kedua-dua pemain tengah itu digantung perlawanan kerana me­nerima dua kad kuning.
Dollah berkata, ekoran ketia­daan kedua-dua pemain berpe­ngalaman tersebut, beliau terpaksa mengubah percaturannya dan menggantikan mereka dengan pemain-pemain sedia ada dan keputusan hanya akan dibuat pada sesi latihan menjelang separuh akhir itu nanti.
“Saya terkilan juga dua tonggak kita tak dapat beraksi tetapi saya ada sedikit masa untuk membuat persediaan siapa yang akan menggantikan kedua-dua pemain ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya, beliau melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi yang dipamerkan mereka, walaupun terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir bagi memastikan tempat di separuh akhir menjadi milik mutlak Harimau Malaya.
Jelasnya lagi, para pemain berjaya mempamerkan peningkatan dalam perlawanan demi perlawanan dan akhirnya berhasil mengisi slot terakhir separuh akhir Piala AFF yang sekali gus melayakkan Malaysia untuk bertemu juara Kumpulan A, Vietnam.
“Saya berpuas hati dengan corak permainan kita yang meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan apa yang paling saya puas hati walau dalam masa singkat saya bersama pasukan, kita dapat juga mara ke separuh akhir,” ujarnya.
Dollah memberitahu, khususnya pada perlawanan kelmarin, para pemain memberikan komitmen penuh apabila mereka tidak berputus asa dalam memburu gol kemena­ng­an setelah diikat dengan kedu­duk­an­ 1-1.
“Semua pemain dapat bagi komitmen penuh itu yang penting, sekalipun dalam keadaaan 1-1, kita masih tak berputus asa walaupun tinggal beberapa minit sahaja lagi. Kita masih berusaha untuk mencari gol dan akhirnya Alhamdulillah kita berjaya dan saya berpuas hati de­ngan para pemain,” tambahnya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-terkilan-hilang-shukor-amri-1.31152#sthash.rSS1LhM5.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan