Isnin, 26 November 2018

Norhafiz sedia sahut cabaran jumpa MU


ARKIB : 08/07/2009
KUALA LUMPUR - Tonggak KL PLUS, Norhafiz Zamani Misbah sedia menyahut cabaran selepas dia merupakan antara empat pemain senior yang dipanggil untuk skuad kebangsaan yang akan beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Manchester United pada 18 Julai ini.

Menurutnya, sebagai antara pemain senior, dia berazam untuk memberi semangat kepada pemain muda yang sebahagian besarnya menjadi pilihan jurulatih K. Rajagobal.

Sebagai antara pemain senior yang jarang terpinggir dari skuad kebangsaan, Norhafiz yakin dia mampu menyesuaikan diri dengan pemain senior.

''Saya sedia menyahut cabaran sejurus mendapat tahun saya tersenarai ke dalam skuad kebangsaan,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Nor Hafiz, Mohd Amri Yahyah, Indraputra Mahayuddin dan V. Thirumurugan merupakan empat tonggak senior yang memikat Rajagobal dan akan melapor diri untuk latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Petaling Jaya hari ini.

Sebanyak 28 pemain yang dipanggil dengan sebahagian besarnya merupakan pemain bawah 23 tahun seperti Baddrol Bakthiar, Mohd Kyril Muhymeen, Mohd. Amirulhadi Zainal, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan pemain adik beradik Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Abd Razak.

Tambah Norhafiz, dia yakin tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pemain muda.

''Saya sudah biasa beraksi dengan mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

''Sebahagian besar daripada mereka merupakan pemain yang pernah beraksi di bawah khidmat jurulatih sebelum ini B. Sathianathan,'' katanya.

Menurut Norhafiz, dia juga tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan Rajagobal.

''Saya pernah beraksi di bawah kendaliannya ketika kempen pra Piala Dunia,'' katanya.

Kelmarin, Rajagobal berkata, pemilihan pemain muda ke dalam skuad kebangsaan bertepatan dengan matlamat asal untuk menghadapi Sukan SEA di Laos hujung tahun ini yang membabitkan pemain bawah 23 tahun.

Untuk itu beliau terpaksa mengetepikan pemain senior seperti penjaring terbanyak Liga Super, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Mohd. Harris Safwan (penjaring terbanyak Liga Perdana) serta penyerang Selangor, Mohd. Safee Sali.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5XxSrtB7y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan