Jumaat, 30 November 2018

Malaysia ikat China


ARKIB : 16/08/2009
SHAH ALAM - Mengikat China 0-0 di Stadium Shah Alam, semalam amat menggembirakan jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, K. Rajagobal sekali gus memadam kekalahan buruk skuad kebangsaan 5-1 dalam Piala Asia 2007.

Katanya, dia memang menjangkakan saingan sengit daripada pasukan tembok besar itu tetapi pemainnya sentiasa bekerja keras sepanjang perlawanan dan mengikut segala dirancang.

"Kali ini kita bukan sahaja berjaya bertahan dengan baik tetapi mencipta peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan kedua," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurut Rajagobal, penjaga gol, Farizal Marlias bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya rangkaian serangan China.

"Saya harus memberi pujian kepada Farizal di atas ketangkasannya terutama apabila China beraksi seperti biasa mencuba pelbagai taktik serangan.

"Kita sudah bertindak agresif pada separuh masa pertama dan mungkin China sedikit letih," katanya.

Malaysia tidak menunggu lama untuk membuat serangan apabila Baddrol Bakhtiar membuat percubaan pertama dari luar petak penalti seawal minit pertama, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol China, Zeng Cheng.

Baddrol sekali lagi memperoleh peluang untuk membolos gawang China minit kesembilan apabila S. Kunanlan melakukan gerakan solo menembusi petak penalti sebelum melakukan hantaran ke belakang, tetapi cubaan Baddrol ditepis keluar.

Skuad Rajagobal terus ghairah melakukan serangan kali ini menerusi Safiq Rahim yang menerima hantaran lambung Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-30, namun percubaan pemain KL Plus itu tersasar.

Pada akhir saingan separuh masa pertama China memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun percubaan Yang Hao dalam petak penalti tidak menepati sasaran.

Separuh masa kedua menyaksikan China mengasak skuad negara bertubi-tubi tetapi gagal menembusi benteng kebal Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKcvpMrE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan