Ahad, 25 November 2018

'Rezeki Allah tak pernah salah alamat'

MyMetroArena
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: “Rezeki Allah tidak pernah salah alamat dan waktu!”
Itu luahan kapten negara, Zaquan Adha Radzak berhubung kejayaan Harimau Malaya meraih kemenangan penting 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Zaquan ketika ditemui selepas perlawanan bagaimanapun mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi mengharungi perlawanan lebih sukar pada separuh akhir.

Penyerang berusia 31 tahun itu turut memuji komitmen tinggi yang diberikan semua pemain dalam mencipta kemenangan berharga buat Harimau Malaya.

“Saya amat menghormati semua rakan termasuk pemain muda dan senior. Mereka memberikan aksi terbaik walaupun pelbagai tekanan dan kritikan diterima.

“Satu saja saya nak cakap, rezeki Allah tak salah tempat dan tak salah waktu selagi kita berusaha. Bagi perlawanan seterusnya saya rasa kita kena lebih fokus dan kena perbaiki kesilapan.

“Ia kerana sudah tentu kita akan jumpa pasukan yang lebih kuat selepas ini. Jadi kesilapan mudah yang dilakukan malam ini akan diperbetulkan dalam latihan,” katanya.

Keputusan itu bukan saja menyaksikan Harimau Malaya layak ke peringkat seterusnya, malah berjaya melunaskan dendam dua tahun lalu selepas Myanmar menyingkirkan pasukan negara di peringkat kumpulan.

Lebih manis, kemenangan yang membawa Malaysia ke separuh akhir Piala AFF itu turut disaksikan lebih 83,000 penyokong yang hadir ke stadium keramat Harimau Malaya, sekali gus mencipta rekod kehadiran penonton tertinggi sepanjang Piala AFF setakat ini.

Malah, kejayaan itu juga meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dilupakan Zaquan selepas dia meledak dua gol terutama jaringan keduanya yang dihasilkan menggunakan muka.

“Macam saya kata rezeki Allah tidak salah tempat dan waktu, kepala ke, lutut ke, bola tetap masuk dan apa orang nak komen terpulang. Unik memang unik, rezeki bola itu nak masuk, tapi kalau kita tak kerja keras pun ia tak jadi juga.

“Memang kita tak jangka ini baru peringkat kumpulan, penyokong memang ramai, terima kasih semua dan satu saja saya minta berilah kritikan yang membina untuk menaikkan motivasi kami.

“Ada pemain yang boleh terima kritikan, ada pemain yang tidak boleh terima. Jadi kalau anda rakyat Malaysia berilah semangat dan sokogan anda kepada kami,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 5:41 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan