Khamis, 29 November 2018

Ranking Harimau Malaya naik


MyMetroArena
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan mendapat semangat tambahan sebelum aksi separuh akhir pertama Piala AFF berdepan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini selepas ranking Harimau Malaya naik dua anak tangga.

Pengumuman itu dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini yang menyaksikan kedudukan Harimau Malaya melonjak ke tangga 167 berbanding 169 sebelum ini.

Malaysia yang mengumpul 984 mata keseluruhan – pertambahan 10 mata berbanding sebelum ini - turut berada di kedudukan ke-34 dalam kalangan negara Asia.

Bagaimanapun, Malaysia masih berada di bawah Myanmar, Indonesia dan Singapura bagi ranking negara Asia Tenggara dengan Vietnam berada pada kedudukan terbaik di tangga ke-100 dunia.

Lawan Malaysia di Bukit Jalil nanti, Thailand pula jelas berada di kedudukan lebih baik berbanding Harimau Malaya apabila menghuni ranking ke-118.

Kedudukan itu sekali gus memberi gambaran betapa Thailand menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final Piala AFF.

Sementara itu, kedudukan nombor satu dunia kekal milik Belgium yang mengumpul 1,727 mata, satu mata di depan juara Piala Dunia, Perancis yang menghuni tangga kedua.

Brazil pula di tempat ketiga dengan 1,676 mata sementara finalis Piala Dunia, Croatia juga kekal di kedudukan keempat selepas mengumpul 1,634 mata.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 9:05 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan