10 November 2018 3:00 AM
CHENG HOE
JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (gambar kecil) mengakui pasukannya
sedikit kelam kabut pada awal permainan terutamanya bagi aksi pembukaan
berdepan Kemboja pada kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki
2018 meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 di Phnom Penh kelmarin.
Pada aksi di Stadium Nasional tersebut, penyerang Pahang, Norshahrul Idlan
Talaha muncul sebagai wira negara selepas menjaringkan gol tunggal apabila
bijak memanfaatkan hantaran ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak
untuk menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Vichet pada minit ke-30.
Pasukan bimbingan Cheng Hoe menguasai sebahagian besar perlawanan dan
berupaya menggandakan kedudukan tetapi percubaan tepat Safawi Rasid dan
Mohamadou Sumareh sekadar terkena palang gol pasukan tuan rumah dan keputusan
tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Cheng Hoe yang juga bekas pengendali skuad Helang Merah memberitahu,
sememangnya pasukan akan berdepan perasaan gugup apabila beraksi untuk
perlawanan pembukaan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan padang tiruan.
“Sememangnya, bagi mana-mana pertandingan sekali pun, perlawanan pertama
sememangnya sukar untuk mendapatkan momentum apatah lagi beraksi di padang
tiruan.
“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan permainan pasukan, namun pemain
tetap berjaya mengatasinya dengan baik sekali gus melakukan kebangkitan.
“Tidak dinafikan pada separuh masa pertama kami agak kelam kabut, namun
kemudiannya kami dapat mengawal permainan dengan baik dan berharap pemain dapat
mengekalkan persembahan seperti ini untuk aksi berikutnya,” katanya selepas
perlawanan tersebut.
Cheng Hoe juga mengakui Safawi dan Sumareh tidak berdepan sebarang masalah
meskipun mereka bertukar posisi pada aksi pembukaan Kumpulan A tersebut.
“Pada saya, meskipun Safawi dan Sumareh bertukar posisi, namun tiada
masalah bagi mereka berdua kerana masing-masing mempunyai kualiti di posisi
sayap kiri dan kanan.
“Saya harap gandingan mereka berdua dapat memberikan lebih persefahaman
pada pertemuan berikutnya bersama pemain-pemain lain.
“Saya mahu melihat pemain melakukan lebih baik di Bukit Jalil selepas ini
kerana sebagai jurulatih sudah tentu mahukan peningkatan daripada pasukan,”
ujarnya.
Skuad kendalian Cheng Hoe akan menerima kunjungan Laos di Stadium Nasional,
Bukit Jalil pada Isnin ini sebelum ujian sebenar Malaysia bertemu skuad
pilihan, Vietnam di Hanoi (16 November) dan menutup kempen Kumpulan A menentang
Myanmar di laman sendiri, 24 November depan
SUMBER-KOSMO ONLINE 10 November 2018 3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan