Selasa, 27 November 2018

Amri belum puas


ARKIB : 20/07/2009
PETALING JAYA - Dua gol jaringan Amri Yahyah dalam perlawanan menentang persahabatan pertama menentang Manchester United, kelmarin bukanlah yang pertama dan terakhir, malah ketua pasukan Selangor itu bertekad akan melakukannya lagi, hari ini.

Bagaimanapun, dia sedar perkara tersebut bukan boleh dilakukan dengan mudah tambahan lagi pemain United sudah mengetahui corak permainan Malaysia dan kemampuan pemain secara individu.

Menurutnya, walaupun United akan lebih bersedia dan mempersembahkan permainan luar biasa untuk menutup malu akibat melepaskan dua gol dalam perlawanan sebelum ini, dia dan rakan-rakan perlu bermain dengan cara sendiri.

"Apa yang perlu saya dan rakan-rakan lain lakukan ialah bermain seperti biasa, mengikut segala arahan yang diberikan oleh jurulatih, K. Rajagobal," katanya selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, dia juga tidak mahu terlalu yakin dalam perlawanan esok (hari ini) kerana ia mampu untuk memakan diri sendiri tambah lagi berdepan dengan pemain yang kaya dengan pengalaman seperti United.

"Saya berjanji jika diturunkan dalam perlawanan kedua ini, saya akan bermain bermati-matian dan mempamerkan persembahan terbaik.

"Kita juga mungkin tidak akan mendapat laluan mudah dalam perlawanan kedua nanti, setidak-tidaknya penjaga gol mereka akan lebih bersedia dan tidak mengulangi kesilapan," katanya.

Kata pemain kelahiran Tanjung Karang itu, keinginannya untuk menjaringkan gol masih lagi ada dan masih belum puas dengan dua jaringan yang dihasilkannya.

"Memang saya merasa puas yang amat sangat selepas menjaringkan gol semalam tetapi ia tidak bermakna nafsu saya untuk terus menghadiahkan gol kepada skuad kebangsaan sudah tersekat.

"Kami tidak akan patah semangat walaupun seperti beraksi di gelanggang lawan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Y3IX1R00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan