ARKIB : 14/06/2009
Indonesia tunduk
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
MOHD. Zaquan Adha Razak (kiri) diasak pemain Indonesia, Rachmat Latif pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Cheras. Malaysia menang 1-0. - MINGGUAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KUALA LUMPUR - Jaringan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak memberikan kemenangan moral skuad Bawah 23 kebangsaan apabila menewaskan lawan sebaya skuad Indonesia 1-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Tindakan pantas Mohd. Zaquan yang membuat susulan selepas percubaan S. Kunalan melantun pada minit ke-41, menceriakan jurulatih K. Rajagobal yang sedang membentuk skuad Sukan SEA di Laos Disember depan.
Ia merupakan kemenangan ketiga skuad bimbingan Rajagobal, yang dilantik jurulatih pada April lalu selepas menang ke atas Shanghai Zhong Bang 2-1 dalam perlawanan persahabatan di China dan menang 3-0 ke atas skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3-0, baru-baru ini.
Mengulas kemenangan tersebut, Rajagobal berkata, perlawanan dengan Indonesia sukar kerana pertembungan kedua-dua negara sentiasa sengit.
Katanya, para pemain bermula baik dengan skuad muda Indonesia yang mengadakan perlawanan persahabatan di Iran baru-baru ini.
''Kemenangan ini menggembirakan saya. Namun perjalanan skuad ini masih jauh.
''Perlawanan ini lebih merupakan medan untuk saya menguji para pemain sebagai persediaan untuk membentuk skuad mantap ke Sukan SEA.
''Saya memberi peluang kepada pemain membuktikan kemampuan dan saya gembira kerana para pemain mempamer kesungguhan mereka.
''Dua bulan sebelum Sukan SEA, saya mungkin dapat menyenaraikan skuad sebenar ke Sukan SEA,'' katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.
Jurulatih Indonesia, Cesar Manuel Payovich memuji corak persembahan skuad negara.
''Malaysia mempamer permainan agresif, ia sesuatu yang kami mahukan.
''Seperti juga Rajagobal, saya juga menjadikan perlawanan ini sebagai medan menguji para pemain untuk ke Sukan SEA,'' katanya.
Pada perlawanan semalam, skuad negara menguasai babak pertama yang berlangsung hambar.
Peluang gol dihampakan penyudah tumpul dan tersasar menerusi gandingan Mohd. Bunyamin Umar, S. Kunalan, Mohd. Khyril Muhymeen dan K. Gurusamy sebelum penyerang Mohd. Zaquan muncul penjaring gol tunggal perlawanan empat minit sebelum berakhir separuh pertama.
Indonesia cuba bangkit di babak kedua apabila memasukkan penyerang tinggi lampai Jajang Mulyana bagi membantu Sultan Samma serta Corneles Sergius Geddi menerusi gerakan menarik di depan pintu gol Malaysia.
Walaupun kehadiran Jajang memberi impak, benteng pertahanan skuad kebangsaan enggan memberi ruang menerusi pertahanan kental ketua pasukan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Ahmad Shakir Ali.
Rajagobal kemudiannya membuat pertukaran pemain apabila menurunkan Stanley Bernard, Mohd. Amirulhadi Zainal dan G. Mathevan di bahagian depan.
Hasilnya skuad negara hampir menambah gol pada babak akhir perlawanan apabila Mohd. Shakir merembat deras akibat kesilapan penjaga gol Indonesia Frenky Irawan yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas, namun bola terkena tiang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XwaU38iI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan