Selasa, 27 November 2018

Ferguson kagum persembahan anak-anak buah Rajagobal

 
ARKIB : 19/07/2009
Ferguson kagum persembahan anak-anak buah Rajagobal
Mohd Amri Yahyah, cuba merampas bola dari pemain Manchester United, Anderson, pada Perlawanan Persahabatan Malaysia lawan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Alex Ferguson kagum dengan corak permainan pantas pemain kebangsaan sehingga hampir mengikat pasukannya Manchester United pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Menurut Ferguson, para pemain Malaysia beraksi secara terbuka dan penuh bertenaga walaupun ketinggalan 0-2.

Malaysia tewas 2-3 kepada United yang menyenaraikan pemain bertaraf bintang.

''Peningkatan atau perubahan ketara pasukan Malaysia ialah di babak kedua. Mereka beraksi dengan penuh tumpuan.

"Keputusan ini menunjukkan pasukan ini mempunyai kemampuan. Mereka mempunyai kelebihan iaitu mampu beraksi dengan pantas.

"Tidak mudah berputus asa sehingga berjaya mencuri gol pada masa kecederaan," katanya pada sidang akhbar, semalam.


Amri Yahyah merupakan hero pasukan kebangsaan apabila menjaringkan dua gol menarik.

Walaupun kalah, Amri Yahyah muncul wira pasukan kebangsaan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan ke-61.

Sebelum itu United membayangkan satu lagi pesta gol apabila mendahulu 2-0 menerusi jaringan Wayne Rooney pada minit ke-8 dan Nani pada minit ke-27.

Kedudukan tersebut bertahan sehingga minit ke-84 apabila Micheal Owen, yang dimasukkan pada babak kedua menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Ferguson turut memuji semangat melawan para pemain negara walaupun ketinggalan.

"Para pemain Malaysia mempamer keazaman, semangat juang yang tinggi. Mereka juga mampu menguasai perlawanan terutama di babak kedua. Namun, para pemain kami memiliki kelebihan kerana mempunyai pemain berpengalaman yang mampu menangani keadaan terutama Michael Owen.

"Walau apa pun saya gembira dengan keputusan perlawanan Jelajah Asia ini," katanya.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Y3GrZ232
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan