Ahad, 25 November 2018

Harapan baru bola sepak negara


 
ARKIB : 10/06/2009
PEMAIN Harimau Muda bertuah kerana mendapat sedikit sebanyak tunjuk ajar Arsene Werger ketika lawatan pengurus The Gunners itu ke Malaysia di Dataran Merdeka semalam.

KUALA LUMPUR – Di sebalik kesuraman bola sepak negara, masih ada bakat muda yang boleh disandarkan harapan untuk memulihkan maruah bola sepak tempatan.

Ia berdasarkan pujian pengurus Arsenal Arsene Wenger terhadap tahap kepantasan dan kecergasan beberapa pemain skuad Harimau Muda yang disifatkannya menyamai pemain berkelas dunia.

Beliau mengesan kemampuan pemain muda negara ketika Sesi Kejurulatihan Bola Sepak Castrol Asia bersama skuad bawah 19 menerusi program Cabaran Castrol yang melibatkan kaedah ujian profesional terhadap tahap kelajuan, kelincahan dan kepantasan pemain di Dataran Merdeka semalam.

Menurut Wenger yang mendapat jolokan The Professor, sepanjang ujian tersebut beliau mengesan dua pemain mencapai tahap luar biasa dari segi kepantasan.

‘‘Dalam ujian pecut 20 meter, ada dua pemain yang mencatat kepantasan 2.67 hingga 2.71 saat.

‘‘Kepantasan tersebut adalah luar biasa. Ini merupakan petanda baik kerana mereka merupakan pemain pelapis. Tempoh empat tahun lagi akan menjadi penentu apakah mereka mampu untuk menyertai skuad senior kebangsaan.

‘‘Untuk memastikan pemain muda ini dapat mengekalkan tahap kecergasan dan kepantasan sehingga ke peringkat senior, mereka perlukan mental yang kuat.

‘‘Kuat dari segi fizikal dan teknikal, juga personaliti kerana ia akan terbentuk bersama-sama dengan kualiti,’’ katanya.

Wenger turut berkata, kelemahan bola sepak di kalangan pemain Asia ialah kurangnya penekanan ketika peringkat usia muda.

‘‘Asia masih kurang dari segi pembentukan pemain seawal usia muda dalam sukan ini yang sepatutnya bermula pada usia lima hingga 12 tahun,’’ katanya.

Beliau turut memberi pendapat bahawa untuk melahirkan pemain yang ‘pintar’, ia perlu dibentuk sejak usia muda menerusi perlawanan kompetitif.

Jelasnya, pembentukan pemain yang tangkas juga perlu diberi keutamaan kerana ia merupakan asas kepada bola sepak moden.

‘‘Untuk berjaya, seseorang pemain perlu berkembang mengikut peringkat umur.

‘‘Pada usia 17 atau 18 tahun, pemain remaja perlu mendapat pendedahan perlawanan yang secukupnya.

‘‘Pada usia 21 dan 22 tahun, mereka sudah mencecah peringkat pra matang dan secara konsisten dapat beraksi di peringkat kompetitif.

‘‘Pada usia 23 tahun, pemain sepatutnya sudah mampu meletakan nama sebagai pemain utama skuad senior dan usia 23 hingga 29 tahun adalah tempoh terbaik dalam karier kerana mereka telah memiliki keupayaan dan kematangan,’’ katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XwOkQIm5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan