Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah (kiri) diasak
oleh pemain Zimbabwe, Abel Chimusaru dalam perlawanan kedua persahabatan di
Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Asmaruddin Jamaluddin
SHAH ALAM - Berbeza dengan aksi
perlawanan pertama, Malaysia hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas
Zimbabwe di Stadium Shah Alam, semalam ditambah dengan permainan kurang agresif
dan terikut-ikut dengan rentak lawan.
Mungkin pemain lebih berhati-hati
mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan menjelang pertemuan dengan
Manchester United, Sabtu ini, namun apa sahaja alasan - perlawanan semalam amat
membosankan seperti pertemuan kelab di dalam Liga Perdana.
Bagi Rajagobal sendiri, dia
melihat aksi yang diperagakan anak buahnya tidak ada beza seperti perlawanan
pertama dengan beberapa peluang dapat dilakukan kecuali ketumpulan barisan
serangan menggagalkan mereka meraih jaringan tambahan pada separuh masa kedua.
"Sukar untuk dibandingkan
penyerang yang kita ada dengan penyerang Manchester United, mereka mempunyai
pemain yang sudah berlatih bertahun-tahun termasuk sentuhan semula jadi,
sedangkan pemain kita masih lagi muda," katanya pada sidang akhbar selepas
perlawanan tamat.
Rajagobal mengakui sendiri
pemainnya bermula dengan perlahan pada 20 minit awal sebelum mempamerkan rentak
agresif selepas itu dan berjaya memperoleh jaringan pada minit ke-38 melalui
pemain pertahanan V. Thirumurugan.
"Mereka adalah pemain muda
banyak perkara yang perlu mereka belajar, apa yang saya mahukan mereka
menunjukkan kebolehan yang dimiliki, bagaimanapun ada segelintir pemain yang
memberi aksi mengecewakan hari ini (semalam).
"Apa pun selepas dua
perlawanan saya sudah mendapat gambaran awal siapa yang akan beraksi terlebih
dahulu menentang United nanti, sekarang saya akan memantau mereka dalam latihan
tiga hari sebelum perlawanan sebenar," kata Rajagobal.
Pada 10 minit pertama kedua-dua
pasukan mempamerkan aksi yang membosankan dengan bola banyak berlegar di
kawasan tengah, sehinggalah cubaan pertama dari penyerang negara, Norshahrul
Idlan Talaha pada minit ke-20 apabila membawa bola secara solo sebelum
melakukan rembatan tepat ke arah penjaga gol, Godfrey Mangove.
Peluang skuad kebangsaan hadir
lagi pada minit ke-29 apabila Amri Yahyah menerima hantaran pendek dari Indra
Putra Mahayuddin, namun rembatan pemain Selangor itu di dalam petak penalti
terkena pertahanan Zimbabwe sebelum bola melantun keluar
Satu-satunya percubaan yang
dilakukan Zimbabwe pada separuh masa pertama dilakukan Daniel Zokoto pada minit
ke-31, namun percubaannya dari luar petak penalti tepat ke dakapan penjaga gol,
Farizal Marlias.
Malaysia memecah kebuntuan pada
minit ke-38 apabila pertahanan kanan, V. Thirumurugan melakukan larian solo
dari kawasan sendiri dan mara ke dalam petak penalti dengan melakukan rembatan
leret menewaskan Mangove.
Malaysia yang sebelum ini
membelasah pasukan Zimbabwe 4-0 dalam perlawanan pertama Ahad lalu gagal
menambah jaringan pada separuh masa kedua, sebaliknya K. Rajagobal mengambil
peluang dengan membuat 11 pertukaran termasuk penjaga gol.
Pada masa kecederaan Malaysia
mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua apabila pemain gantian, Ahmad
Shakir Ali membuat hantaran pendek kepada Stanley Bernard namun rembatan
penyerang UPB-MyTeam itu berjaya ditepis penjaga gol kedua Zimbabwe, Tapiwa
Mafunga.
Tambah Rajagobal, walaupun United
sebuah pasukan yang kuat, mereka akan menggunakan kekuatan yang sedia ada pada
pemainnya sekarang dan mencari kelemahan pasukan bimbingan Alex Ferguson itu.
"Saya mahu pemain menikmati
perlawanan Sabtu ini sebaik mungkin dan mana-mana jurulatih dalam dunia ini
tidak mahu pasukannya tewas.
"Kami tetap optimistik dan
teruja, saya harap mereka cuba yang terbaik serta menunjukkan permainan yang
berkualiti," katanya.
Pada pertemuan terakhir skuad
kebangsaan menentang United 2001 lalu, Malaysia tewas 6-0.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Y0yar0xU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan