Jumaat, 30 November 2018

Amar pikul dua misi berbeza


ARKIB : 23/09/2009
KUALA LUMPUR – Tidak ada siapa yang mengenalinya sebelum ini, tetapi selepas tersenarai sebagai pemain kesebelasan utama skuad negara menentang Manchester United, namanya mula menjadi sebutan.

Bagaimanapun, perjalanan Amar Rohidan yang beraksi untuk skuad Perlis itu masih lagi jauh dan ada matlamat yang tersendiri menjelang akhir musim Liga Malaysia serta hujung tahun ini.

Menurut Amar, impiannya kali ini adalah membantu Singa Utara menjulang Piala Malaysia dan skuad bawah 23 tahun negara beraksi cemerlang di Sukan SEA Laos Disember ini.

“Mengikut perlawanan persahabatan pasukan Perlis saya rasa kami mempunyai peluang untuk terus konsisten dalam saingan Piala Malaysia seperti mana Liga Super sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, ketika berlatih bersama skuad kebangsaan dan tidak mempunyai peluang bersama rakan-rakan sepasukan di Kangar, Amar mendapat maklum balas bahawa pasukannya sudah bersedia untuk memulakan saingan Piala Malaysia bermula 26 September ini.

“Jika tidak ada sebarang masalah dan kami berjaya mengekalkan rentak seperti sebelum ini sudah tentu peluang untuk beraksi sehingga ke perlawanan akhir amat cerah,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan corak latihan, jurulatih Rajagobal dan Irfan Bakti Abu Salim, Amar berkata, kedua-dua jurulatih tersebut menggunakan pendekatan yang sama.

“Apa yang penting ialah pemain perlu mengikut segala arahan mereka dengan betul dan bagi saya ia tidak ada sebarang masalah atau bebanan berada di bawah dua jurulatih dalam masa yang hampir sama.

“Perancangan taktikal antara kedua-dua jurulatih ini juga tidak ada perbezaan yang ketara, saya serasi dengan cara mereka setakat ini,” katanya.

Amar juga mengakui skuad bawah 23 tahun negara, sentiasa berada dalam keadaan bersemangat dan mantap selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.

“Walaupun ada antara pemain muka baru termasuk saya tetapi persefahaman antara kami semua tetap ada,” kata pemain kelahiran Perlis itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YLqC3hNK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan