ARKIB : 21/07/2009
KUALA LUMPUR - Sir Alex Ferguson
sekali lagi menghamburkan pujian buat skuad kebangsaan sambil mengakui
Manchester United terpaksa bergelut sebelum menang 2-0 dalam perlawanan kedua
di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Menurutnya, para pemain kebangsaan
mempamer peningkatan berbeza berbanding skuad 2001, di mana mereka menang besar
6-0.
Malahan Ferguson lebih banyak
memuji persembahan pemain negara semalam berbanding ketika pasukannya hampir
dikejutkan sebelum menang 3-2 pada perlawanan pertama Sabtu lalu.
"Saya terkejut melihat
mereka telah banyak berubah pada perlawanan hari ini (semalam) dan juga Sabtu
lalu.
''Ia sama sekali berbeza
berbanding sembilan tahun lalu. Skuad kali ini bertenaga, mereka begitu ghairah
untuk mengejar bola dan membuatkan kami terpaksa bergelut," katanya dalam
sidang media semalam.
Jelasnya, pemain yang diturunkan
oleh K. Rajagobal semalam lebih bertenaga dan memiliki kelajuan luar biasa
sehingga memberi mampu ancaman kepada pasukannya.
"Mereka memiliki kelajuan
cuma penyudahnya rata-rata pemain anda perlu memperbaikinya.
"Bagaimanapun segala
pergerakan dan keputusan yang dilakukan mereka di atas padang boleh
dibanggakan," katanya pengendali berbangsa Scotland itu.
Ferguson juga amat berpuas hati
dengan pemain muda yang diturunkan seperti Fabio dan Federico Macheda, di mana
mereka mampu memberi persembahan terbaik.
Dalam pada itu, Rajagobal
berkata, penyudah tumpul dan pertahanan goyah merupakan punca hasrat skuad
kebangsaan lebur untuk mengulangi persembahan cemerlang seperti Sabtu lalu.
Kata beliau, ketiadaan penyudah
yang berkesan di jentera serangan tidak sepatutnya berlaku jika mahu memberi
tentangan ke atas pasukan handal seperti United.
"Kita perlukan penyudah yang
baik apabila berdepan pasukan kuat seperti United.
"Namun ia gagal dijelmakan.
Kita ada sekurang-kurangnya dua peluang gol di babak pertama namun ia gagal
disempurnakan. Pertahanan kanan dan kiri juga tidak berfungsi dengan baik hari
ini.
"Inilah punca kita terpaksa
melepaskan gol di awal permainan," katanya.
Tambah Rajagobal, skuad bimbingan
Ferguson juga menurunkan skuad berbeza di babak pertama berbanding pertama
pertama.
"Aksi mereka lebih bertenaga
dengan percaturan skuad berbeza yang diturunkan pada malam ini.
"Ternyata mereka lebih
bersedia untuk perlawanan ulangan ini.
"Untuk mengimbangi
perlawanan, saya membuat pertukaran di babak kedua dengan memasukkan pemain
muda.
"Dan saya berpuas hati
dengan aksi di babak kedua kerana kita banyak melalukan asakan walaupun gagal
memperoleh jaringan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Y3JlcXgm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan