ARKIB : 09/07/2009
Masa halang Rajagobal bentuk
skuad mantap jumpa MU
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
CARI KETenangan... Pemain skuad
bola sepak negara sempat menjalani latihan kecergasan dalam kolam di Kompleks
Renang Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.
Dengan hanya sembilan hari lagi
aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rajagobal mengakui tidak banyak yang
berupaya dilakukannya dari aspek persiapan skuad negara.
Lebih meresahkan, beliau hanya
ada masa dua hari sahaja untuk mengatur segala persiapan untuk perlawanan
persahabatan dengan Syria Ahad ini, disusuli perlawanan kedua pada Selasa
depan.
Apa yang jelas, Rajagobal kini
'berperang dengan masa'.
''Apa yang anda jangkakan dari
masa yang begitu singkat? Ya... saya tidak berpeluang merangka persediaan yang
terbaik.
''Namun, inilah sahaja masa yang
saya ada. Untuk itu saya harus membuat persediaan yang sesuai berdasarkan
tempoh singkat yang saya ada.
''Sesi latihan pusat 28 pemain
yang mula melapor diri hari ini adalah proses pemulihan mental dan fizikal
pemain.
''Saya katakan begitu kerana
semua pemain yang dipanggil secara fizikalnya baik kerana telah mengharungi
tujuh perlawanan liga berturut-turut.
''Inilah bekalan untuk membentuk
skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan yang terdekat iaitu dengan
Syria," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) semalam.
Sebanyak 28 pemain dipanggil
untuk pemilihan skuad kebangsaan yang akan menentang Manchester United pada 18
Julai ini.
Daripada jumlah itu, hanya empat
pemain senior disenaraikan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Norhafiz
Zamani Misbah dan V. Thirumurugan.
Jelas Rajagobal, semua pemain
yang dipanggil, menyahut cabaran untuk latihan pusat yang bermula semalam.
Jelasnya, perlawanan persahabatan
dengan Syria akan menjadi kayu ukur pemilihan pemain yang akan diturunkan
ketika menentang United nanti.
''Setakat ini belum ada skuad
bayangan siapa yang akan disenaraikan (menentang United).
''Begitu juga pemain senior,
kedudukan mereka dalam skuad belum terjamin dan harus bersaing dengan pemain
muda.
''Hanya perlawanan dengan Syria
yang menjadi medan pemilihan pemain yang layak disenaraikan untuk menentang
United," katanya.
Rajagobal turut mempertahankan
tindakannya memilih sebahagian besar pemain muda.
''Pembentukan skuad ini bukan
sekadar untuk perlawanan dengan United tetap matlamatnya adalah skuad SEA
hujung tahun ini.
''Selepas Pestabola Merdeka
dibatalkan, kita sudah tiada peluang untuk menguji skuad khas ke Sukan SEA.
''Peranan pemain senior ialah
memberi semangat kepada pemain muda kerana mereka memiliki pengalaman,"
katanya.
Mengenai perlawanan dengan
United, Rajagobal berkata, rasionalnya dia tidak rela melihat pasukan
bimbingannya menjadi skuad belasahan.
''Bagi saya perlawanan dengan
United bukan sekadar perlawanan pertunjukkan.
''Keputusan perlawanan tetap
penting, saya tidak rela kita dibelasah.
''Namun apa yang lebih penting
ialah pemain kita dapat menimba pengalaman dari perlawanan tersebut.
''Nikmatilah perlawanan dengan
pemain bertaraf bintang, pelajarilah kelebihan mereka, berikan yang terbaik,
itu harapan saya," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XxVR6iYI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan