Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 setelah kalahkan
Myanmar 3-0
Ahmad Fazli Mohd. Yadi Dan Ardie Putra Suhaimi
25 November 2018 2:00 AM
MAT YO (kanan) cuba melepasi kawalan
pemain Myanmar dalam saingan Piala AFF Suzuki di Bukit Jalil, K
MAT YO (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Myanmar dalam saingan Piala AFF
Suzuki di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
SKUAD Harimau Malaya mengotakan janji untuk layak ke pentas separuh akhir
Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 selepas menumbangkan
Myanmar 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
Kuala Lumpur malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia yang muncul naib juara setelah meraih
sembilan mata, mengiringi Vietnam sebagai pendahulu Kumpulan A dengan 10 mata
selepas menewaskan Kemboja 3-0 dalam aksi yang sama.
Beraksi pada separuh masa pertama, skuad negara mendominasi penguasaan bola
dengan mengasak benteng pertahanan Myanmar.
Taktik agresif Harimau Malaya berhasil selepas penyerang Pahang, Norshahrul
Idlan Talaha atau Mat Yo membuka tirai jaringan pada minit ke-25.
Pemain kelahiran Terengganu itu bijak memanfaatkan situasi kelam kabut
dengan menolak mudah bola ke gawang skuad pelawat apabila rembatan Mohamadou
Sumareh gagal ditepis penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.
Pasukan negara hampir berjaya menggandakan kedudukan menerusi kapten
Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak, tetapi percubaan tepat tersebut gagal menemui
gawang pada minit ke-30.
Myanmar mencemaskan puluhan ribu penyokong apabila memperoleh peluang
terbaik menyamakan kedudukan, namun gagal dimanfaatkan Aung Thu pada minit
ke-42.
Bagaimanapun semangat juang Myanmar sekali lagi direntap oleh pasukan
bimbingan Tan Cheng Hoe sejurus Zaquan menjadikan keputusan 2-0 menerusi
sepakan penalti pada minit ke-45.
Kejayaan itu hadir selepas pengadil dari Iran, Faghani Alireza memberikan
kelebihan itu kepada pasukan negara sebaik Safawi Rasid dijatuhkan Soe Moe Kyaw
dalam kawasan kotak penalti.
Bersambung di separuh kedua perlawanan, skuad negara tidak menunjukkan
tanda-tanda kepenatan dengan terus mengasak benteng pertahanan Myanmar.
Bermula dengan percubaan tepat Syamer Kutty Abba (m-47) dan Mat Yo (m-61)
yang tidak berjaya dijelmakan, jentera serangan Harimau Malaya terus berusaha
mencari gol ketiga perlawanan.
Bagaimanapun benteng pertahanan Myanmar bermain dengan lebih berhati-hati
dengan mematahkan setiap serangan skuad negara di setiap posisi.
Myanmar cuba memberikan tentangan dalam misi mencari dua gol untuk
menyamakan kedudukan berbaki 10 minit, namun Zaquan memastikan tiket separuh
akhir menjadi milik negara apabila meledak gol ketiga berbaki tiga minit
permainan.
SUMBER-KOSMO ONLINE 25 November 2018 2:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan