Selasa, 27 November 2018

Skuad kebangsaan perlu terus konsisten


ARKIB : 22/07/2009
KUALA LUMPUR - 'Ini adalah harapan palsu', kata-kata itu memang berbunyi agak kasar tetapi itulah yang diluahkan oleh salah seorang pemanggil dalam satu rancangan bual bicara sukan membincangkan tentang prestasi pasukan Malaysia menentang Manchester United baru-baru ini.

Sesiapa sahaja berhak memberikan pandangan terhadap mutu persembahan skuad bimbingan K. Rajagobal baik dalam perlawanan pertama (Sabtu) ataupun perlawanan kedua (kelmarin) namun sebagai peminat bola sepak yang setia sekurang-kurangnya kita perlu melihat daripada pelbagai sudut.

Sekurang-kurangnya skuad kebangsaan kali ini tidak mengulangi sejarah tewas besar 6-0 pada 2001 kepada United dan tewas 2-3 dan 0-2 merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan termasuk berjaya membolosi gawang pasukan kelab terhebat dunia itu.

Bagaimanapun Rajagobal tidak boleh berasa mudah puas hati kerana di sebalik aksi yang meyakinkan itu masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

Misalnya, di bahagian tengah dan serangan dilihat masih kurang menyerlah dengan beberapa kelemahan seperti merencanakan gerakan merbahaya dan penyudah tajam perlu dititikberatkan.

Walaupun kita mampu berbangga dengan dua jaringan Amri Yahyah pada perlawanan pertama tetapi kita perlu menilai cara jaringan tersebut dilakukan, ia bukannya terhasil dari gerakan sebagai satu pasukan.

Alangkah baiknya jika kita mampu menghukum kealpaan pertahanan United menerusi gerakan satu dua atau hantaran lintang yang merbahaya, namun semangat dan sikap mereka yang tidak mengenal erti putus asa sedikit-sebanyak menutup kelemahan tersebut.

Pujian juga harus diberikan kepada dua pemain yang cukup menyerlah dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Amri dan Mohd. Farizal Marlias (penjaga gol) yang membuktikan mereka adalah pilihan tepat untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.

Walaupun tidak beraksi hampir tiga tahun untuk skuad kebangsaan, Amri tidak kekok dan dilihat begitu matang, semangatnya ketika beraksi di dalam Liga Super dan Piala FA bersama Selangor melekat di dalam dirinya serta dijelmakan semula di hadapan ribuan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain kelahiran Tanjung Karang itu membuktikan bahawa dia layak untuk dinobatkan sebagai pemain yang banyak menjaringkan gol cantik dan pelik musim ini, selepas melakukan perkara yang sama di dalam saingan separuh akhir Piala FA menentang Perlis dan saingan akhir bertemu Kelantan.

Farizal pula telah memberi isyarat kepada semua penjaga gol di Malaysia bahawa dia adalah pilihan utama setakat ini untuk sekurang-kurangnya dalam dua atau tiga kejohanan lagi.

Aksi tangkas dan berani yang dipamerkan Farizal membuktikan dia cukup bersedia berdepan dengan rangkaian serangan United yang dibarisi penyerang berkelas dunia seperti Wayne Rooney, Michael Owen, Dimitar Berbatov dan Ryan Giggs.

Farizal telah menyelamatkan hampir 10 percubaan merbahaya dalam kedua-dua perlawanan tersebut, malah dia juga tidak takut untuk meluru keluar jika bola berada pada kedudukan 50-50.

Selain memperbaiki kelemahan asas, Rajagobal juga perlu memastikan anak buahnya terus konsisten agar tidak mengulangi pencapaian tahun lalu di mana Malaysia gagal beraksi cemerlang dalam Piala AFF Suzuki di Phuket.

Pada ketika itu skuad kebangsaan dibimbing oleh B. Sathianathan, selepas beraksi cemerlang ketika bertemu Chelsea dan Pestabola Merdeka, mereka gagal meneruskan aksi konsisten dalam Piala AFF.

Apa yang diharapkan agar pasukan ini tidak melakukan rombakan terlalu besar dan pendedahan perlawanan antarabangsa perlu diperbanyakkan lagi, berilah peluang untuk Rajagobal membuktikannya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5Y3Kzqrhy
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan