Jumaat, 9 November 2018 | 3:55pm
Norshahrul Idlan Talah. - Foto Hairul Anuar Rahim
Tuah 2010 Mat Yo kembali?
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Adakah skuad Harimau Malaya mengharapkan tuah Mat Yo untuk
mengulangi kejayaan Piala AFF 2010?
Ini selepas penyerang paling senior berusia 32 tahun itu atau nama
sebenarnya Norshahrul Idlan Talaha menyumbat gol kemenangan 1-0 ke atas Kemboja
pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh semalam.
Kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan lapan tahun lalu di mana
Norshahrul turut menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama ketika dibelasah
pasukan tuan rumah Indonesia 5-1.
Bagaimanapun skuad negara masih berjaya meloloskan diri ke final untuk bertemu
sekali lagi dengan musuh ketat itu sebelum merekod kemenangan agregat 4-2.
Bagi Norshahrul, dia berharap agar kejayaan memungut tiga mata dalam
perlawanan pertama dapat meningkatkan semangat pasukan sebelum berdepan Laos di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin ini.
“Alhamdulilah kita dapat tiga mata malam ini (semalam) dan untuk perlawanan
seterusnya saya harap rakan-rakan dapat beri lebih komitmen,” katanya pada
sidang media selepas perlawanan itu semalam.
Norshahrul tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan jurulatih Tan
Cheng Hoe yang memberi peluang kepadanya tampil buat kali kelima sejak 2010
dengan menanduk masuk hantaran lintang Zaquan Adha Abd Radzak di minit ke-30
ketika menentang Kemboja.
Ia jaringan kelima peribadinya sepanjang kempen Piala AFF dan cukup penting
buat skuad negara yang banyak mensia-siakan peluang untuk merobek gawang
pasukan tuan rumah termasuk percubaan Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh yang
terkena tiang.
Norshahrul yang kariernya kembali menyinar selepas menyertai Pahang
mengakui masih ada kelemahan perlu diperbaiki dalam passukan Harimau Malaya.
“Untuk perlawanan seterusnya pemain akan terus berusaha bersungguh-sungguh
untuk cari tiga mata lagi dengan Laos. Memang perlawanan malam ini (semalam)
kita agak kelam kabut sedikit jadi saya harap rakan-rakan akan beri yang lebih
baik selepas ini,” katanya.
Enam mata maksimum pada dua perlawanan awal seharusnya menjadi buruan skuad
Harimau Malaya dalam misi melayakkan diri ke separuh akhir kerana selepas itu
mereka bakal berdepan pasukan pilihan Vietnam dan Myanmar.
SUMBER=BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 9 November 2018 | 3:55pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan