Khamis, 29 November 2018

Malaysia belasah Timor Leste, intai ke separuh akhir


ARKIB : 07/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Skuad negara hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan aksi separuh akhir Kejohanan Bawah 19 AFF selepas membelasah Timor Leste 7-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Ho Chi Minh City Vietnam, semalam.

Peluang untuk ke separuh akhir masih terbuka selepas lawan skuad kebangsaan seterusnya esok, Myanmar tunduk 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua semalam.

Kemenangan semalam membolehkan Malaysia berkongsi tiga mata dengan Myanmar dalam Kumpulan B yang diterajui Vietnam, namun kelebihan jaringan memihak kepada skuad negara.

A. Thamil Arasu menjaringkan lima gol menerusi penalti pada minit ke-18, ke-33, ke-73, ke-84 dan ke-87.

Muhamad Fandi Othman dan Mohd. Fadhli Mohd. Shas turut meletakkan nama sebagai penjaring masing-masing pada minit ke-24 dan 82.

Ketika dihubungi, jurulatih negara, Ong Kin Swee berkata, Malaysia hanya perlu seri dengan Myanmar dalam perlawanan esok untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

''Keputusan seri sudah memadai kerana kita akan layak berdasarkan kelebihan jaringan. Namun bukan itu (seri) yang kita sasarkan apabila berdepan Myanmar nanti.

''Kita akan beraksi untuk menang. Namun ia tidak mudah kerana walaupun kalah kepada Vietnam Myanmar mempamerkan aksi amat bertenaga, permainan pantas.

''Walaupun mereka kehilangan tiga pemain kerana dilayangkan kad merah hari ini (ketika menentang Vietnam), kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka,'' katanya.

Mengenai pada perlawanan menentang Timor Leste semalam, Kin Swee menjelaskan dia hanya menurunkan skuad simpanan.

''Para pemain kita pada awalnya agak gugup walaupun beraksi menentang pasukan seperti Timor Leste, namun mereka akhirnya berjaya meningkatkan permainan untuk mencari gol,'' katanya.

Sementara itu, Vietnam menjadi pasukan pertama dari Kumpulan B yang layak ke separuh akhir selepas membenam Myanmar 3-1 dalam perlawanan tegang yang menyaksikan tiga pemain Myanmar dilayangkan kad merah.

Dalam Kumpulan A, saingan ke separuh akhir masih terbuka di antara Thailand, Australia dan Singapura selepas masing-masing meraih mata dalam perlawanan kedua semalam.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YJfl1Wfz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan