Ahad, 13 November 2016

Hasrat Presiden FAM ditolak

ARKIB : 07/02/1999
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak hasrat Sultan Ahmad Shah untuk melepaskan jawatan sebagai presiden badan induk bola sepak negara yang dinyatakan pada mesyuaratnya, bulan lalu.

FAM berpendapat khidmat Sultan Pahang itu masih diperlukan untuk pembangunan bola sepak negara dan selama ini telah menjalankan tugas dengan baik.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah berkata, soal peletakan jawatan itu hanyalah satu hasrat dan bukannya keputusan yang telah dibuat oleh ayahandanya.

''Hasrat dan keputusan adalah dua perkara berbeza. Sultan menyatakan hasratnya meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatian selaku Presiden AFC (Persekutuan Bolasepak Asia), tetapi kita tidak setuju.

''Tetapi kita tetap akan menghormati keputusan yang dibuat (oleh Sultan), itu hak Tuanku,'' kata baginda kepada pemberita selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC), di Tanjung Gelang, dekat Kuantan, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi KPC, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Naib Presiden FAM.

Ketika ditanya sama ada isu peletakan jawatan presiden itu akan dibincangkan pada mesyuarat FAM akan datang, Tengku Abdullah berkata, perkara tersebut tidak terdapat di dalam minit mesyuarat.

Tengku Abdullah turut menafikan hasrat ayahandanya dibuat berikutan kegagalan pasukan kebangsaan ketika di Kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill di Vietnam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Psh5Q0tZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan