ARKIB : 17/02/1999
PEMAIN bola sepak tempatan
dianggap masih cetek pengetahuan dan kefahaman mengenai taraf profesional,
walaupun bidang sukan tersebut di negara ini telah sepuluh tahun memasuki era
itu.
Apa yang lebih malang, akibat
kecetekan pengetahuan dan pemahaman itu ada pemain yang menghadapi masalah,
khususnya untuk mematuhi kontrak yang ditandatangani setiap tahun.
Perkara seumpama itu, menurut
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdulah Sultan
Ahmad Shah sepatutnya tidak berlaku jika pemain bersikap profesional.
''Pemain kita masih cetek dan
tidak memahami situasi sebenar untuk bertindak sebagai pemain profesional,
sepatutnya masalah tidak berlaku lagi memandangkan kita telah menjangkau
sepuluh tahun era profesional,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian
semasa diminta mengulas pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh pemain khususnya
dalam urusan kontrak dengan persatuan-persatuan negeri.
Persatuan Bola Sepak Pahang
(PBNP) sendiri menghadapi masalah apabila bekas pemain Kuala Lumpur, K.
Ramachandran yang sudah menandatangani kontrak berhasrat untuk menarik balik
kontrak setahunnya.
Ramachandran juga gagal hadir
pada sesi latihan yang diaturkan oleh PBNP termasuk latihan ketenteraan di Kem
8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD, Kuala Lipis.
Sehubungan itu, Tengku Abdullah
berharap pemain khususnya pemain muda mengambil berat aspek itu dan
pegawai-pegawai persatuan negeri pula perlu memberi tunjuk ajar sewajarnya.
Bagaimanapun, katanya, dalam
tempoh sepuluh tahun ini banyak perubahan positif berlaku dalam usaha FAM untuk
meningkatkan lagi tahap profesionalisme bola sepak tempatan.
Beliau menyatakan demikian
semasa ditemui selepas menyaksikan perlawanan persabahatan antara pasukan
wartawan Pahang dengan pegawai PBNP di Stadium Darul Makmur semalam yang
menyaksikan pasukan wartawan menang 3-2.
Mengenai kurangnya pengetahuan
pihak persatuan dan pemain untuk merawat kecederaan, Tengku Abdulah mengakui
wujudnya kekurangan dalam bidang itu.
''Saya sudah membuat tinjauan
dan kursus khas untuk pegawai dan jurulatih persatuan-persatuan negeri akan
dibuat untuk mendalami ilmu sains kesukanan, ini perkara baru dalam bola
sepak,'' ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden 1
PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Pahang sudah tidak lagi mengharap
khidmat pemain Kuala Lumpur P. Saravanan yang dikatakan lebih berminat untuk
terus bersama skuad lamanya.
Walaupun Saravanan sudah
memberi persetujuan menyertai Tok Gajah, tetapi kata Jamal, mengikut peraturan
baru FAM, mana-mana pemain yang tidak menantangani kontrak selepas seminggu
persetujuan dibuat, ia dengan sendirinya akan terbatal.
''Dan apabila Saravanan tidak
datang makna kita tidak boleh buat apa-apa, memanglah kita perlukan pemain
terbaik tetapi itu pilihannya dan kita tidak ada masalah,'' tambah beliau.
Katanya, kriteria pemilihan
pemain yang baik sahaja tidak mencukupi tanpa semangat dan kesungguhan untuk
bermain dengan pasukan yang diwakilinya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PtHnBxCe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan