Ahad, 13 November 2016

Futsal: Rahman elak 'ditipu'

ARKIB : 18/02/1999
JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, beliau sedang memikirkan strategi terbaik untuk mengelak skuad negara daripada ''ditipu'' pasukan-pasukan negara lain pada Kejohanan Bola Sepak Lima Sepasukan (Futsal) Asia, bulan depan.

Katanya, pasukan negara lain khususnya Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan Korea Selatan atau negara-negara yang mengalami musim sejuk sudah biasa dengan permainan itu.

''Futsal adalah permainan mereka sebab ia sering dimainkan pada musim sejuk berbanding kita di sini. Kita sebenarnya ketinggalan oleh mereka dalam sukan ini.

''Sebab itulah ia dimainkan dalam dewan dan mereka tentunya mempunyai kelebihan kerana lebih arif dengan selok belok permainan ini.

''Ini merupakan penyertaan kita kali kedua dan tentunya banyak kelemahan kita. Sebab itulah kita kalah teruk ketika di Sepanyol tiga tahun lalu.

''Tetapi saya sebenarnya tidak mahu menjadikannya alasan. Saya sedang memikirkan strategi terbaik untuk mengelak ditipu mereka,'' kata Abdul Rahman ketika dihubungi, semalam.

Sebanyak 24 pemain dipanggil untuk menjalani latihan pemilihan yang bermula esok. Daripada jumlah itu, hanya 12 pemain akan disenaraikan untuk pasukan menghadapi Kejohanan Futsal Asia pada 5 hingga 10 Mac ini di Kuala Lumpur.

Kejohanan Futsal Asia yang pertama ini disertai sembilan negara dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Kazakhstan dan Uzbekistan manakala Kumpulan A terdiri Korea Selatan, Singapura, Thailand, Kyrgyzstan.

Kejohanan ini juga merupakan pusingan kelayakan yang mana tiga pemenang teratas kejohanan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA pada 2000.

Menurut Abdul Rahman, beliau menyandarkan bantuan daripada penolongnya, Norizan Bakar dalam merencanakan dan membentuk pasukan.

''Dia ada pengalaman dalam Futsal dan saya akan meminta kerjasama daripadanya dalam membentuk atau mencongak strategi terbaik untuk pasukan,'' katanya.

Norizan sebelum ini pernah mengikuti kursus singkat mengenai Futsal di Brazil dan pengetahuannya dalam sukan ini diperlukan oleh Rahman.

Mengenai pasukan lain dalam kumpulan B, Abdul Rahman berkata beliau tidak tahu setakat mana keupayaan semua pasukan dalam kumpulan itu.

''Bagi saya, permainan Futsal bukan memerlukan kegagahan atau saiz badan yang besar. Yang penting adalah skil dan kepantasan pemain.

''Sebab itu saya mahu mencari pemain yang berbadan kecil dan mempunyai kepantasan mengawal dan menggerakkan bola... kemudian barulah strategi permainan,'' katanya.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA 1996 di Sepanyol pada penyertaan pertamanya tetapi tewas semua tiga perlawanan kumpulan di tangan Itali 1-10, Uruguay (1-4) dan Amerika Syarikat (2-10).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PtRMV2Pf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan