Ahad, 13 November 2016

Sultan Ahmad Shah nafi letak jawatan

ARKIB : 09/02/1999
SULTAN Ahmad Shah melakukan undian saingan Liga Malaysia musim 1999 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Gambar ZAINI HUSSIN.

SULTAN Ahmad Shah menafikan beliau berhasrat meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), lapor AMRAN MULUP.

''Saya tidak meluahkan hasrat hendak meletakkan jawatan buat masa ini dan saya tidak kata demikian,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Maljis FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelasnya lagi, bila masa tiba nanti memang sewajarnya beliau akan meletakkan jawatan yang disandangnya sejak 14 tahun lalu.

''Bila masa tiba sudah tentunya saya akan meletakkan jawatan, lagipun saya bukan semakin muda. Tunggulah masanya nanti.

''Buat masa ini, saya tidak bercadang hendak meletakkan jawatan...tunggulah pada mesyuarat kongres nanti,'' jelas Sultan Ahmad Shah lagi.

Sultan Ahmad Shah berkata demikian mengulas laporan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagaimana yang diluahkan dalam mesyuarat badan induk itu dua bulan lalu.

Isu mengenai perletakan jawatan prsiden FAM timbul dalam mesyuarat tertutup FAM dua bulan lalu dan ia tiada kaitan dengan kegagalan skuad bola kebangsaan di Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam berakhir baru-baru ini.

Menurut Sultan Ahmad Shah lagi, beliau mahu meletakkan jawatan secara terhormat dan bukannya sekadar menyatakan hasrat itu dalam keadaan dan situasi sekarang.

Mengulas mengenai kegagalan skuad bola sepak kebangsaan pada Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam berakhir baru-baru ini, beliau berkata pemain bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim telah bermain dengan baik.

''Menurut laporan, mereka (pemain) komited untuk bermain untuk skuad kebangsaan dan mereka tunjukkan permainan baik sewaktu seri 1-1 dalam perlawanan pertama dengan Bulgaria.

''Tetapi selepas itu kita tewas teruk kepada Korea dalam perlawanan terakhir apa boleh kita buat dengan kurang latihan dan pendedahan. ''Pasukan ini seharusnya diberikan peluang,'' katanya lagi.

Beliau mengakui skuad kebangsaan hanya mampu bermain pada 45 minit babak pertama seperti yang dilaporkan oleh Rahman.

Sehubungan dengan itu jelas Sultan Ahmad Shah, Maljis FAM bersetuju skuad kebangsaan itu dikekalkan selain didedahkan sekurang-kurangnya satu perlawanan peringkat antarabangsa setiap bulan.

''Pemain akan sekurang-kurangnya menghadapi satu perlawanan peringkat antarabangsa setiap bulan sebagai pendedahan terbaik seperti yang diperlukan,'' katanya.

Mulai April ini, pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim akan mengharungi satu perlawanan peringkat antarabangsa setiap bulan yang akan diadakan di Malaysia.

Pada Julai, FAM mengatur satu kejohanan peringkat antarabangsa membabitkan tiga buah negara termasuk pasukan negara yang akan mengambil bahagian.

Selain itu skuad ini akan menyertai kejohanan Futsal peringkat Asia membabitkan sembilan buah negara pada 5 hingga 10 Mac ini di Stadium Negara.

Selain itu skuad kebangsaan akan membawa cabaran pada temasya Sukan Sea di Brunei Ogos ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PsmJIETR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan