Rabu, 23 November 2016

Harimau Malaysia dapat suntikan semangat

ADHILUL IZMEL ISHAK   22 November 2016 8:40 PM
 SETIAUSAHA Kedua Kedutaan Besar Malaysia, Syajaratud Durri Abdullah(berdiri
SETIAUSAHA Kedua Kedutaan Besar Malaysia, Syajaratud Durri Abdullah(berdiri dua kiri) bermesra dengan pemain Skuad Harimau Malaysia sambil diperhatikan oleh Pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri) dalam Majlis Makan Malam bersama pemain dan wakil media di Yangon, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL
YANGON 22 Nov. - Harimau Malaysia menerima suntikan semangat apabila Kedutaan Malaysia semalam meluangkan masa bersama skuad kebangsaan sebelum skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menghadapi aksi kedua Kumpulan B Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Thuwunna esok.
Penolong pengurus Harimau Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Satim Diman berkata, kesudian wakil duta Malaysia, Syajaratud Durri Abdullah amat dihargai oleh pemain kebangsaan, malah mereka berasa gembira dan terharu dengan sokongan yang diberikan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan timbalannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, apabila mereka menghubungi saya dan telah meminta kedutaan kita memberikan suntikan motivasi kepada pemain.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar (Syajaratud) apabila beliau sudi meluangkan masa bersama kami menerusi majlis makan malam bersama skuad kebangsaan.
“Beliau (Syajaratud) juga sudi memberi kata-kata semangat selepas menyaksikan kejayaan Harimau Malaysia pada perlawanan pertama menentang Kemboja dan menjadikan aksi tersebut sebagai rangsangan untuk bertemu Vietnam dan Myanmar,” katanya kepada pemberita di sebuah restoran dekat Yangon semalam.
Dalam pada itu, Satim yakin dengan kehadiran dari wakil Kedutaan Malaysia di Yangon itu menaikkan lagi semangat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee malah beliau juga turut menghargai media yang secara tidak langsung memberi sokongan kepada Harimau Malaysia.
“Pemain begitu ceria dan kemesraan mereka jelas terpancar di wajah mereka. Majlis makan malam ini juga turut dihadiri rakan media yang sama-sama memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.
“Saya harap dengan suntikan motivasi yang diberikan kedutaan mampu menjadi pemangkin kepada pemain untuk mencatat kemenangan seterusnya,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaysia-dapat-suntikan-semangat-1.410774#sthash.U05QzE5F.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan