Jumaat, 18 November 2016

Harimau Malaysia mahu belasah Kemboja

 
BARISAN pemain skuad Harimau Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk membelasah Kemboja pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon esok.

YANGON, Myanmar – Malaysia tidak rela diratah Kemboja apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna esok.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hanya mahukan kemenangan dalam usaha untuk mencerahkan peluang mereka melangkah lebih jauh pada kempen kali ini.

Atas alasan itu, para pemain perlu fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya agar misi meraih tiga mata penuh menjadi kenyataan.

Begitupun katanya, para pemain tidak boleh terlalu yakin dan mereka perlu menghormati kemampuan pasukan lawan.

“Pertemuan dengan Kemboja (pada Ahad ini) sangat penting, kita harus mengambil peluang sebaik mungkin untuk mencatat kemenangan. Kemenangan sangat penting untuk melonjakkan moral pemain sebelum berdepan Vietnam pada perlawanan kedua nanti.

“Seperti saya katakan, kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Kemboja kerana mereka telah melakukan persediaan lebih awal, malah telah beraksi dalam 13 perlawanan peringkat antarabangsa sebelum kempen Piala AFF Suzuki ini bermula.

“Jika kita mengambil mudah, sudah tentu bakal berdepan padah. Saya percaya pemain faham situasi ini dan mereka bersedia untuk melakukan kejutan juga,” kata Kim Swee semalam.

Pada dua pertemuan terakhir, Malaysia yang menghuni ranking ke-164 dunia memiliki kelebihan ke atas lawan mereka itu yang menyaksikan skuad Harimau Malaysia menang 4-0 pada aksi persahabatan antarabangsa pada 20 September 2014.

Sebelum itu, pada 18 Jun 2007, Malaysia menang besar 6-0 ke atas pasukan lawan mereka itu.

Bagi Kim Swee, rekod lampau tidak boleh diambil kira kerana ia sudah menjadi sejarah.

“Kemboja yang menduduki ranking ke-167 dunia, bukan Kemboja yang dahulu. Mereka telah menunjukkan peningkatan mendadak dan kami perlu waspada agar tidak terperangkap,” jelas Kim Swee.

Namun, dia tetap yakin anak-anak buahnya mampu menghampakan Kemboja jika semua pemain beraksi mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4QPmxXlKv Hakcipta terpelihara

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  18 NOVEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan