MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY &
MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID
16 NOVEMBER 2016
Bekas pemain kebangsaan gesa
skuad Harimau asah taring lagi Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali antara pemain
diuji Kim Swee dalam persahabatan menentang Papua New Guinea, kelmarin.
BEKAS pemain kebangsaan, Asmawi
Bakiri menyifatkan perlawanan Harimau Malaysia menentang Papua New Guinea dalam
aksi persahabatan kelmarin menunjukkan peningkatan yang baik bagi menghadapi
Piala AFF 2016.
Walaupun berpuas hati dengan
percaturan pemain dalam perlawanan itu namun bagi Asmawi kesilapan mudah
barisan pertahanan sedikit sebanyak menggusarkannya.
"Kemenangan semalam
bolehlah dikatakan sebagai suntikan moral sebelum berangkat ke Myanmar nanti.
Boleh dikatakan percaturan pemain dalam perlawanan ini baik, terutamanya
sewaktu separuh masa pertama.
"Gandingan Hazwan Bakri
dan Darren Lok, Irfan Fazail dan Baddrol Bakhtiar sungguh menarik. Taktikal
letak Amri Yahyah di sebelah kiri pun menarik. Tapi yang paling menarik ialah
Zaquan Adha. Dia seorang pemain yang ketika menyerang dia takkan patah balik.
Dia akan terus bergerak ke hadapan. Jadi ini yang paling ditakuti pihak lawan.
"Bila Datuk Ong (Ong Kim
Swee) melakukan pertukaran pemain harus saya akui gerakan kita mulai kendur dan
permainan mula menjadi perlahan.
"Tetapi itu tidak
merisaukan saya, yang saya risaukan ialah kesilapan mudah barisan pertahan yang
menyebabkan kita bolos awal.
"Kalau kita imbas balik
perlawanan persahabatan dengan Indonesia dahulu, kesilapan bolos tiga gol
adalah disebabkan kesilapan pemain pertahanan. Dan untuk perlawanan kali ini
kesilapan yang sama berlaku," katanya.
Kata Asmawi lagi, Kim Swee
seharusnya memberikan hukuman atau mengenakan tindakan tegas kepada pemain yang
melakukan kesilapan berulang.
Menjelang perlawanan pertama
menentang Kemboja, Asmawi menegaskan perlawanan itu harus menjadi misi wajib
menang jika mahu melangkah lebih jauh pada kempen AFF kali ini.
"Kalau tengok jadual
memang sedikit membantu kita sebab kita akan bermain mengikut ranking. Pertama
kita akan lawan Kemboja, kemudian Vietnam dan akhir sekali baru tuan rumah,
Myanmar.
"Bagi saya pertemuan
dengan Kemboja harus menjadi misi wajib menang kita. Ini kerana, pertemuan
seterusnya kita akan menentang dengan pasukan yang lebih kuat. Jadi kita perlu
menang dengan Kemboja untuk mendapat suntikan moral menghadapi lawan yang lebih
kuat nanti.
"Bagaimanapun, kita tidak
boleh pandang mudah kepada Kemboja. Kalau kita tengok jurulatih baharunya dari
Korea dah buat falsafah baharu untuk pasukan itu.
"Apa yang penting, untuk
perlawanan ini pihak kejurulatihan harus mengetahui kekuatan dan kelemahan
pihak lawan. Kita jangan syok sendiri asyik nak tahu kekuatan dan kelemahan
sendiri sahaja. Lebih penting untuk kita ambil tahu corak permainan lawan serta
kekuatan dan kelemahan mereka sebelum membuat keputusan siapa yang akan
dijadikan kesebelasan utama nanti," jelasnya
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 16 NOVEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan